GAZA: Tentera Israel melancarkan serangan udara di tengah Semenanjung Gaza, mendakwa menyasarkan anggota kumpulan Jihad Islam meskipun gencatan senjata sedang berkuat kuasa hasil rundingan yang diusahakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut kenyataan tentera rejim itu, serangan berkenaan dilakukan di kawasan Nuseirat terhadap individu yang dikatakan merancang serangan terhadap pasukan Pertahanan Israel (IDF).
“Beberapa ketika lalu, IDF melancarkan serangan tepat di kawasan Nuseirat, tengah Gaza, menyasarkan anggota pertubuhan Jihad Islam yang merancang untuk melancarkan serangan segera terhadap anggota IDF,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, pihak hospital Al-Awda yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas mengesahkan menerima mangsa yang cedera susulan serangan tersebut.
“Hospital menerima empat mangsa cedera selepas tentera pendudukan Israel menyasarkan sebuah kereta awam di kawasan Kelab Al-Ahli, Kem Nuseirat, Gaza Tengah,” kata hospital itu dalam satu kenyataan.
Saksi melaporkan kereta kebal Israel turut mengebom beberapa kawasan timur Gaza City.
Namun pihak tentera Israel belum memberikan sebarang kenyataan berhubung laporan tersebut.
Gencatan senjata antara Hamas dan Israel dilaporkan berada dalam keadaan rapuh sejak dua minggu lalu.
Namun Israel menegaskan pihaknya berhak mempertahankan diri dan tenteranya daripada sebarang serangan oleh kumpulan bersenjata.
Tentera Israel turut menegaskan akan meneruskan operasi di Gaza bagi menghapuskan sebarang ancaman segera terhadap pasukannya. -AFP










