Taufan Melissa ‘mengamuk’ di Carribean

Taufan Melissa ‘mengamuk’ di Carribean

PENDUDUK mengalihkan sebahagian bumbung rumah yang tercabut akibat Taufan Melissa di Santiago de Cuba, Cuba. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANTIAGO DE CUBA: Taufan Melissa mengganas di seluruh Kepulauan Caribbean, meninggalkan kemusnahan besar yang disifatkan sebagai ‘tidak pernah berlaku sebelum ini’, dengan sekurang-kurangnya 30 orang maut atau hilang di Haiti, Jamaica dan Cuba, sebelum ia menuju ke Bahamas.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC), Melissa yang melemah tetapi masih berbahaya dijangka membawa angin kencang serta hujan lebat ke Bahamas sebelum bergerak ke Bermuda.

“Penduduk Bahamas dinasihatkan supaya terus berlindung, manakala di Bermuda, semua persiapan perlu diselesaikan sebelum angin ribut mula dirasai,” menurut amaran itu.

Di Cuba, Presiden Miguel Diaz-Canel menggambarkan kemusnahan akibat taufan itu sebagai amat besar.

Lebih 735,000 penduduk dipindahkan dari wilayah Santiago de Cuba, Holguin dan Guantanamo dengan ribut kuat memusnahkan rumah, merobohkan tiang elektrik dan menumbangkan pokok.

“Bumbung rumah saya diterbangkan angin dan jatuh sejauh satu blok,” kata Mariela Reyes, 55.

Amerika Syarikat memaklumkan pasukan penyelamat dan bantuan kecemasan digerakkan ke kawasan terjejas di Jamaica, Haiti, Republik Dominican dan Bahamas.

Di Jamaica, Perdana Menteri Andrew Holness mengisytiharkan seluruh negara sebagai kawasan bencana.

Katanya, lebih 25,000 penduduk kini berlindung di pusat perlindungan selepas ribut memusnahkan banyak kediaman dan infrastruktur.

Menurut Menteri Maklumat, Dana Morris Dixon, pihak berkuasa masih belum dapat mengesahkan jumlah kematian sebenar kerana beberapa kawasan paling teruk dilanda masih terputus hubungan.

Lapangan terbang Montego Bay diusahakan untuk dibuka semula bagi membolehkan kira-kira 25,000 pelancong yang terperangkap meninggalkan negara itu.

Di Haiti, agensi pertahanan awam mengesahkan sekurang-kurangnya 20 kematian termasuk 10 kanak-kanak di wilayah selatan selepas banjir besar melanda ketika Melissa menghampiri awal minggu ini, manakala 10 lagi masih hilang.

Taufan Melissa turut mencatat sejarah apabila menyamai rekod tahun 1935 sebagai ribut paling kuat pernah melanda daratan Caribbean, menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS (NOAA).

Setakat ini, jumlah sebenar kerosakan masih belum diketahui kerana komunikasi di kebanyakan kawasan terjejas terputus. Ketua Setiausaha Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Simon Stiell, menyifatkan bencana itu sebagai ‘peringatan keras tentang keperluan mendesak untuk memperhebat tindakan terhadap perubahan iklim’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN