GAZA: Puluhan ribu rakyat Gaza yang kehilangan rumah selepas kediaman mereka musnah akibat serangan Israel kini terpaksa mendirikan khemah di tanah perkuburan sebagai tempat perlindungan terakhir.
Ketika gencatan senjata yang rapuh, krisis kemanusiaan di wilayah itu kekal pada tahap kritikal dengan jutaan penduduk masih kehilangan tempat tinggal.
“Tanah perkuburan ini bukan untuk orang hidup. Namun hari ini, ia menjadi rumah kepada puluhan keluarga yang tiada lagi tempat untuk dituju,” kata wartawan Al Jazeera, Hind Khoudary dari Khan Younis.
Menurut Hind, ramai rakyat Palestin terpaksa berkhemah di tanah perkuburan bukan kerana pilihan, tetapi kerana itulah satu-satunya ruang yang masih bebas.
“Tanah perkuburan kini menjadi tempat perlindungan bukan atas kehendak, tetapi kerana sudah tiada apa lagi tinggal di Gaza kecuali semangat teruskan hidup kami,” katanya.
Rami Musleh, seorang bapa kepada 12 anak yang dipindahkan dari Beit Hanoon di utara Gaza, berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain selain menetap di kawasan perkuburan.
“Bagi ibu bapa, beban emosi amat berat. Trauma perang semakin parah apabila kami terpaksa membesarkan anak-anak di antara batu nisan,” luahnya.
Seorang lagi penduduk, Sabah Muhammed, menyatakan tanah perkuburan kini sudah kehilangan kesuciannya.
Katanya, tempat yang dahulunya suci untuk si mati kini menjadi saksi bisu kepada penderitaan yang hidup selain tidak mempunyai bekalan air, elektrik dan privasi.
“Di Gaza, tanah untuk orang mati kini menjadi satu-satunya tempat perlindungan bagi yang hidup,” katanya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 1.9 juta orang iaitu hampir 90 peratus daripada populasi Gaza dipindahkan sejak perang bermula. Ramai antara mereka berpindah berulang kali, ada yang sehingga lebih dari 10 kali.
Kos untuk menyewa satu meter persegi tanah bagi mendirikan khemah kini terlalu tinggi untuk kebanyakan rakyat Palestin yang kehilangan pekerjaan dan hanya bergantung kepada bantuan kemanusiaan yang amat terhad.










