WASHINGTON: Sidang kemuncak yang dirancang antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin ditangguhkan selepas tindakan Moscow menolak gencatan senjata segera di Ukraine yang menjejaskan usaha rundingan damai.
Seorang pegawai kanan Rumah Putih memberitahu Reuters tiada rancangan untuk Trump bertemu Putin dalam masa terdekat selepas Setiausaha Negara, Marco Rubio dan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov mengadakan perbualan yang membuahkan hasil tetapi memutuskan untuk tidak mengatur pertemuan bersemuka.
Trump sebelum ini mengumumkan beliau dan Putin akan bertemu di Hungary dalam masa terdekat bagi mencari jalan menamatkan peperangan di Ukraine.
Namun, Putin enggan membuat sebarang konsesi. Moscow bertegas Ukraine perlu menyerahkan lebih banyak wilayah sebelum sebarang gencatan senjata boleh dilaksanakan.
Apabila ditanya wartawan mengenai prospek sidang kemuncak itu, Trump berkata, beliau tidak mahu mengadakan pertemuan yang sia-si, namun memberi bayangan akan ada perkembangan lanjut.
“Kami akan memaklumkan anda dalam tempoh dua hari lagi,” katanya.
Utusan pelaburan Putin, Kirill Dmitriev, dalam satu kenyataan di media sosial berkata, persiapan masih diteruskan bagi sidang kemuncak tersebut.
Russia turut mengulangi syarat lamanya bagi perjanjian damai melalui satu komunikasi peribadi dikenali sebagai ‘non paper’ yang dihantar kepada AS hujung minggu lalu, menurut dua pegawai AS dan dua individu yang mengetahui perkara itu.
Menurut seorang pegawai, dokumen tersebut menegaskan semula tuntutan Russia untuk menguasai sepenuhnya wilayah Donbas di timur Ukraine yang lama dipertikaikan, sekali gus menolak cadangan Trump agar gencatan senjata bermula dengan pembekuan barisan hadapan pada kedudukan semasa.
Russia kini menguasai keseluruhan wilayah Luhansk dan kira-kira 75 peratus wilayah bersebelahan Donetsk, yang bersama-sama membentuk rantau Donbas.
Pemimpin Eropah pada Selasa menyeru Washington agar terus bertegas menuntut gencatan senjata segera di Ukraine, dengan garis pertempuran semasa dijadikan asas bagi sebarang rundingan masa depan.
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam satu kenyataan berkata, Setiausaha Agungnya, Mark Rutte berangkat ke Washington pada Selasa untuk mengadakan perbincangan dengan Trump, yang menurut dua sumber akan berlangsung pada hari Rabu.









