Serbuan pusat scammer di Myanmar, ratusan larikan diri ke Thailand - Utusan Malaysia

Serbuan pusat scammer di Myanmar, ratusan larikan diri ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Lebih 600 orang melarikan diri dari satu daripada pusat penipuan dalam talian paling terkenal di Myanmar dan menyeberang ke Thailand selepas operasi ketenteraan dilancarkan terhadap kompleks tersebut, menurut seorang pegawai wilayah Thailand kepada AFP pada Khamis.

Kompleks luas yang menjadi pusat operasi sindiket penipuan internet termasuk sindiket cinta maya dan penipuan pelaburan berkembang pesat di sepanjang sempadan Myanmar yang longgar kawalannya sejak tercetusnya perang saudara selepas rampasan kuasa tentera pada 2021.

Tindakan keras yang mendapat perhatian meluas sejak Februari telah menyaksikan kira-kira 7,000 pekerja dipulangkan ke negara masing-masing, di samping Thailand melaksanakan sekatan internet rentas sempadan.

Namun, siasatan AFP bulan ini mendedahkan pembinaan beberapa kompleks baharu masih giat dijalankan, selain pemasangan besar-besaran penerima internet Starlink di lokasi tersebut dipercayai menghubungkan operasi penipuan itu kepada rangkaian satelit milik Elon Musk.

Timbalan Gabenor wilayah Tak yang bersempadan dengan Myanmar, Sawanit Suriyakul Na Ayutthaya berkata kepada AFP, 677 orang melarikan diri dari pusat penipuan KK Park di Myanmar dan menyeberang Sungai Moei ke Thailand setakat pagi Khamis.

Seorang wartawan AFP turut melihat lebih 100 individu berkumpul di sebelah Myanmar berhampiran laluan masuk utama ke Thailand awal pagi Khamis, kebanyakannya membawa beg besar dan beg galas.

Seorang pemandu tempatan yang enggan dikenali atas faktor keselamatan menganggarkan sekitar 700 orang telah menyeberang secara haram pada waktu malam.

Walaupun sebahagian pekerja sindiket didalangi sindiket pemerdagangan manusia dan dipaksa bekerja di kompleks berpagar ketat, pakar berkata ada juga yang pergi secara sukarela kerana tertarik dengan peluang meraih pendapatan tinggi dalam industri penipuan bernilai berbilion dolar itu.

Sawanit berkata polis imigresen dan pihak tentera memberikan bantuan mengikut prosedur kemanusiaan.

Katanya, mereka yang menyeberang akan melalui proses saringan untuk menentukan sama ada mereka merupakan mangsa pemerdagangan manusia atau akan didakwa kerana memasuki sempadan secara haram.

Pejabat Pentadbiran Wilayah Tak dalam satu kenyataan berkata kumpulan yang memasuki Thailand dari Myanmar itu terdiri daripada warganegara asing lelaki dan wanita, dan pihak berkuasa menjangkakan lebih ramai lagi akan menyeberang.

Agensi berita Indonesia, Antara melaporkan kira-kira 20 rakyat Indonesia telah berjaya menyeberang ke wilayah Thailand melalui Sungai Moei setakat Rabu malam, menurut Kedutaan Indonesia di Yangon yang memetik maklumat pihak berkuasa Thailand. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN