SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan menyuarakan kebimbangan susulan peningkatan mendadak kes penculikan yang melibatkan rakyatnya ketika melancong ke Thailand, destinasi pelancongan popular dalam kalangan rakyat negara itu.
Laporan The Korea Economic Daily memetik data Kementerian Luar Korea Selatan menunjukkan sebanyak 11 kes penculikan rakyat Korea berlaku di Thailand setakat tahun ini.
Angka itu meningkat secara ketara berbanding tiada kes dilaporkan pada 2021, satu kes pada 2022 serta lima kes masing-masing pada 2023 dan 2024.
Thailand dilapor semakin terlibat dengan kes jenayah ganas dan penipuan yang membabitkan warga Korea dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara kes paling mengejutkan ialah pembunuhan seorang pelancong Korea berusia 34 tahun yang diculik serta dibunuh oleh tiga rakan senegaranya ketika berada di Thailand dan ketiga-tiga suspek kemudiannya ditahan di Korea Selatan, Vietnam dan Kemboja.
Pada Julai lalu pula, polis Thailand menyerbu sebuah sindiket jenayah di wilayah Chonburi yang dianggotai 20 rakyat Korea dan seorang warga China.
Kumpulan itu dipercayai menjalankan operasi penipuan pusat panggilan serta telah menculik seorang lelaki Korea dan memaksanya bekerja untuk mereka sebelum diselamatkan dalam serbuan berkenaan.
Fenomena ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Korea Selatan, lebih-lebih lagi selepas kes pelajar Korea yang didera dan dibunuh di Kemboja pada awal tahun ini.
Dengan hampir 1.86 juta rakyat Korea Selatan melawat Thailand pada 2024, isu keselamatan kini menjadi topik perbincangan hangat di media sosial dan kalangan pembuat dasar negara itu.
Menurut akhbar The Korea Herald, ramai yang menggesa kerajaan memperketat pemantauan terhadap iklan tawaran kerja luar negara mencurigakan kerana dikhuatiri memperdaya golongan muda Korea untuk terjebak dalam kegiatan jenayah atau eksploitasi di luar negara.









