GAZA CITY: Shorbasi duduk di rumah mereka yang rosak teruk di Gaza City, menikmati sedikit ketenangan akibat gencatan senjata.
Namun, kedamaian itu segera berakhir apabila mereka mendengar satu letupan yang kuat dan bergegas keluar untuk menemui kedua-dua anak kembar mereka yang berusia enam tahun, Yahya dan Nabila, terbaring berlumuran darah di tanah.
Kedua-dua kanak-kanak itu menemui objek bulat ketika bermain. Sekali sentuh, objek itu meletup.
“Ia seperti mainan,” kata datuk mereka, Tawfiq Shorbasi, mengenai bahan letupan tertinggal itu, selepas kedua-dua anak tersebut dikejarkan ke Hospital Shifa pada hari Jumaat.
Ratusan ribu rakyat Palestin kini mengambil peluang untuk kembali ke rumah mereka yang masih tinggal selepas gencatan senjata yang bermula pada 10 Oktober.
Namun, bahaya masih belum berakhir apabila orang ramai, termasuk kanak-kanak, menyelongkar runtuhan untuk mencari barang-barang yang masih ada, dan untuk mencari mayat yang tidak dapat dijangkau sebelum ini.
Shorbasi berkata keluarga mereka telah kembali ke rumah setelah gencatan senjata dimeterai.
Yahya terbaring di katil hospital dengan lengan dan kaki kanannya dibalut dengan pembalut.
Nabila, yang kini dirawat di Hospital Friends of Patient, turut mengalami kecederaan di dahi yang dibalut. Kedua-dua wajah mereka penuh dengan parut kecil akibat serpihan letupan.
Seorang doktor kecemasan Britain yang juga pakar pediatrik di sebuah hospital berkata, kedua-dua kanak-kanak itu mengalami kecederaan yang mengancam nyawa, termasuk kehilangan tangan, lubang di usus, patah tulang, dan kemungkinan kehilangan kaki.
Kanak-kanak berkenaan sudah menjalani pembedahan kecemasan dan keadaan mereka agak stabil, kata doktor tersebut.
Namun, kebimbangan masih ada mengenai pemulihan mereka disebabkan oleh kekurangan ubat-ubatan dan bekalan perubatan di Gaza.










