MOSCOW: Russia semalam menafikan ujian sistem senjata terbaharunha merupakan ujian nuklear sebenar, selepas tindakan itu mendorong Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan ujian nuklear baharu oleh Pentagon.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, menegaskan ujian peluru berpandu jelajah berkuasa nuklear Burevestnik dan dron bawah laut Poseidon tidak melibatkan sebarang peledak atom, sekali gus tidak boleh ditafsir sebagai ujian nuklear.
“Ujian tersebut tidak termasuk sebarang letupan nuklear. Kami berharap maklumat itu telah disampaikan dengan betul kepada Presiden Trump,” kata Peskov kepada wartawan dalam sidang media harian.
Kenyataan itu dibuat selepas Trump dalam hantaran di media sosial mengumumkan beliau telah mengarahkan Jabatan Pertahanan AS memulakan ujian senjata nuklear sebagai tindak balas terhadap program ujian negara lain.
“Disebabkan ujian yang dijalankan oleh negara lain, saya telah mengarahkan Jabatan Pertahanan untuk memulakan ujian senjata nuklear kita atas dasar yang sama,” tulis Trump di platform truth social.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada arahan itu merujuk kepada ujian peledak nuklear sebenar yang kali terakhir dilakukan AS pada tahun 1992 atau sekadar ujian sistem pelancar senjata yang mampu membawa kepala peledak atom.
Sebelum ini, Presiden Russia Vladimir Putin turut menegaskan Moscow akan kembali melaksanakan ujian nuklear sekiranya AS berbuat demikian terlebih dahulu.
Kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif pada tahun 1996 yang melarang semua bentuk ujian nuklear, namun perjanjian itu masih belum diratifikasi.
Dalam pengumuman terbaharunya, Putin mendakwa senjata baharu Russia itu mampu mencapai mana-mana benua di dunia serta tidak dapat dikesan oleh sistem pertahanan sedia ada.
Menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), Russia dan AS kini menguasai kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan senjata nuklear dunia, bersamaan lebih 11,000 kepala peledak. -AGENSI

 
								 
											









