MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin tidak akan tunduk selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan sekatan terhadap dua syarikat minyak terbesar negara ini iaitu Rosneft dan Lukoil.
Langkah drastik itu sebagai tekanan langsung terhadap Kremlin bagi menamatkan perang di Ukraine yang kini memasuki tahun keempat.
Menurut sumber dagangan, sekatan tersebut turut memaksa syarikat minyak milik kerajaan China menggantung pembelian minyak Russia buat sementara, manakala penapis minyak di India dijangka mengurangkan import secara besar-besaran.
Trump berkata, sekatan berkenaan adalah isyarat jelas Washington akan menyekat sumber kewangan Moscow demi memaksa rundingan damai.
Putin mengecam langkah AS sebagai ‘tindakan tidak masuk akal’ dan menegaskan ekonomi Russia tidak akan lumpuh.
“Tiada negara yang bermaruah akan membuat keputusan di bawah tekanan,” katanya sambil memberi amaran kekurangan bekalan minyak dunia akan memberi kesan kepada negara-negara Barat sendiri.
Trump, ketika ditanya mengenai kenyataan Putin itu, membalas secara sinis: “Baguslah kalau dia rasa begitu. Kita akan lihat hasilnya dalam enam bulan.”
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menyifatkan sekatan AS itu sebagai sangat penting namun menegaskan tekanan terhadap Moscow perlu digandakan untuk memaksa gencatan senjata.
Kesatuan Eropah (EU) meluluskan pakej sekatan ke-19 terhadap Russia, termasuk larangan import gas asli cecair (LNG) dari negara itu serta sekatan terhadap entiti China dan bank Asia Tengah yang didakwa membantu ekonomi perang Moscow.
Walaupun hasil minyak dan gas Russia dilaporkan merosot 21 peratus tahun ini, sektor itu masih menyumbang satu perempat bajet negara dan menjadi sumber utama pembiayaan perang.
Namun penganalisis menjangka kesan segera terhadap kewangan negara akan terbatas kerana hasil utama diperoleh melalui cukai pengeluaran, bukan eksport.
Di Brussels, pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mengarahkan Suruhanjaya Eropah untuk meneroka pilihan pembiayaan Ukraine bagi tempoh dua tahun lagi, sekaligus membuka kemungkinan pemberian pinjaman besar menggunakan aset Russia yang dibekukan.
Moscow memberi amaran akan bertindak jika aset itu dirampas.










