Pusat penipuan di Myanmar makin berkembang, guna khidmat Starlink

Pusat penipuan di Myanmar makin berkembang, guna khidmat Starlink

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAE SOT: Pusat-pusat penipuan di Myanmar yang memperdaya berbilion dolar daripada mangsa di seluruh dunia kini berkembang pesat hanya beberapa bulan selepas tindakan tegas yang sepatutnya menamatkan kegiatan mereka.

Menurut siasatan wartawan AFP, bangunan-bangunan baharu sedang dibina dengan pantas di dalam kawasan berpagar dikawal ketat sekitar bandar Myawaddy yang terletak di sempadan Thailand–Myanmar dengan sekurang-kurangnya lima lintasan feri baharu merentasi Sungai Moei untuk membawa bekalan ke kawasan pusat-pusat tersebut.

Imej dan rakaman dron menunjukkan beberapa bangunan turut dipenuhi piring satelit untuk perkhidmatan Starlink milik hartawan, Elon Musk.

Data daripada pendaftar internet serantau Asia (APNIC) menunjukkan Starlink yang sebelum ini tidak wujud ketika tindakan keras pada Februari kini menjadi penyedia internet terbesar di Myanmar setiap hari dari 3 Julai hingga 1 Oktober 2025.

Jawatankuasa Ekonomi Bersama Kongres Amerika Syarikat (AS) memaklumkan sudah memulakan siasatan terhadap penglibatan Starlink dalam operasi pusat-pusat ini, dan jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk memanggil Musk memberikan keterangan.

Pada Februari lalu, China, Thailand dan Myanmar memaksa militia pro-junta Myanmar yang melindungi pusat-pusat tersebut untuk berjanji menghapuskan operasi penipuan berkenaan. 

Dalam tindakan itu, kira-kira 7,000 orang, kebanyakannya warga China dibebaskan daripada sistem pusat panggilan yang kejam, yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beroperasi melalui buruh paksa dan pemerdagangan manusia.

Ramai bekas pekerja memberitahu AFP mereka dipukul dan dipaksa bekerja berjam-jam oleh ketua sindiket penipuan yang menyasarkan mangsa di seluruh dunia melalui panggilan telefon, internet dan media sosial.

Sejak 3 Julai, Starlink berada di kedudukan teratas penyedia internet Myanmar hampir setiap minggu, selepas hanya menduduki tangga ke-56 dalam senarai APNIC pada akhir April.

Kerja pembinaan turut dikesan di beberapa lagi daripada 27 pusat penipuan yang disyaki dalam Myawaddy, termasuk Shwe Kokko yang terkenal kerana kegiatan jenayahnya.

Bulan lalu, AS mengenakan sekatan terhadap sembilan individu yang dikaitkan dengan Shwe Kokko dan ketua sindiket jenayah China, She Zhijiang, pengasas pusat Yatai New City di kawasan itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN