PM Britain umum dana 10 juta pound lindungi komuniti Islam - Utusan Malaysia

PM Britain umum dana 10 juta pound lindungi komuniti Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer pada Khamis mengumumkan tambahan dana keselamatan bernilai 10 juta pound (RM56.2 juta) bagi melindungi komuniti Muslim daripada jenayah kebencian dan serangan, susulan lawatannya ke sebuah masjid di Peacehaven yang menjadi sasaran serangan khianat bermotifkan api pada awal bulan ini, lapor Anadolu.

Dalam lawatannya, Starmer berkata dana itu bertujuan menyediakan perlindungan kepada komuniti Muslim, agar mereka dapat hidup dalam keadaan aman dan selamat.

Beliau menegaskan Britain adalah sebuah negara mengamalkan sikap toleransi dan serangan terhadap mana-mana komuniti adalah serangan terhadap seluruh negara dan nilai-nilai negara itu.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian kebakaran yang merosakkan pintu masuk hadapan Masjid Peacehaven serta sebuah kereta pada 4 Oktober lalu. Polis Sussex berkata insiden itu disiasat sebagai jenayah kebencian.

Menurut kerajaan, dana tambahan untuk masjid dan pusat keagamaan Muslim itu akan digunakan bagi menambah langkah keselamatan seperti pemasangan CCTV, sistem penggera, pagar keselamatan dan khidmat petugas keselamatan.

Keluarga kepada salah seorang jemaah yang melarikan diri ketika pintu masjid dibakar memaklumkan kepada Starmer bahawa individu berkenaan menjadi tertekan dan pendiam selepas kejadian.

“Kita sepatutnya tidak perlu ada kawalan keselamatan di rumah ibadat, dan adalah menyedihkan apabila kita terpaksa melakukannya,” kata Starmer kepada komuniti tersebut.

Tambahan 10 juta pound itu melengkapkan dana sedia ada berjumlah 29.4 juta pound (RM165.49 juta) tahun ini untuk masjid dan sekolah agama Muslim, menurut kenyataan kerajaan.

Beberapa bulan kebelakangan ini menyaksikan beberapa serangan terhadap masjid. Ketika kejadian huru-hara pada musim panas lalu, masjid di Southport, Hull dan Sunderland turut menjadi sasaran, sekali gus menimbulkan kegusaran dalam komuniti setempat.

Statistik terkini jenayah kebencian menunjukkan serangan anti-Muslim meningkat 19 peratus bagi tahun berakhir Mac 2025, dengan 44 peratus daripada keseluruhan jenayah kebencian berunsur agama direkodkan menyasarkan umat Islam.

“Britain ialah negara yang bangga dan bertoleransi. Serangan ke atas mana-mana komuniti adalah serangan ke atas seluruh negara dan nilai kita. Dana ini akan menyediakan perlindungan yang diperlukan dan wajar untuk komuniti Muslim, agar mereka dapat hidup dalam keadaan aman dan selamat,” kata Starmer dalam satu kenyataan.

“Saya mahukan Britain untuk semua, dan kerajaan saya komited untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua termasuk melindungi rumah ibadat daripada pihak yang cuba memecah-belahkan kita melalui kebencian dan keganasan,” tambahnya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN