Perang Gaza belum berakhir selagi Hamas tidak lucut senjata - Netanyahu - Utusan Malaysia

Perang Gaza belum berakhir selagi Hamas tidak lucut senjata – Netanyahu

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Sabtu menegaskan perang di Gaza tidak akan berakhir selagi Hamas belum dilucutkan senjata sepenuhnya dan wilayah Palestin itu bebas tentera.

Kenyataan itu dibuat ketika sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine Al-Qassam, menyerahkan dua lagi mayat tebusan Israel pada malam Sabtu di bawah perjanjian gencatan senjata.

Pejabat Netanyahu memaklumkan bahawa pasukan Palang Merah telah menerima mayat dua tebusan tersebut daripada Hamas dan menyerahkannya kepada tentera Israel di Gaza, sebelum dibawa ke Israel untuk proses pengecaman.

Isu mengenai tebusan yang telah mati dan masih berada di Gaza menjadi antara halangan utama dalam pelaksanaan fasa pertama gencatan senjata. Israel turut mengaitkan pembukaan semula lintasan Rafah dengan pemulangan kesemua mayat tebusan itu.

Netanyahu menegaskan bahawa pelaksanaan fasa kedua gencatan senjata amat penting bagi menamatkan perang, yang menurutnya mesti merangkumi pelucutan senjata Hamas dan penyahmilitaran penuh Semenanjung Gaza.

“Apabila perkara itu selesai sama ada dengan cara mudah atau cara sukar barulah perang ini akan berakhir,” katanya dalam temu bual di saluran kanan konservatif Channel 14 Israel.

Bagaimanapun, Hamas dilaporkan menolak sepenuhnya tuntutan Israel itu, dan sejak gencatan senjata bermula, kumpulan tersebut dikatakan sedang berusaha mengukuhkan semula kawalannya ke atas Gaza.

Sementara itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu berkata pihaknya menerima ‘laporan yang boleh dipercayai’ bahawa Hamas sedang merancang serangan terhadap orang awam di Gaza, sambil memberi amaran bahawa tindakan itu akan dianggap sebagai pelanggaran gencatan senjata.

“Sekiranya Hamas meneruskan serangan tersebut, langkah akan diambil untuk melindungi rakyat Gaza dan mengekalkan integriti gencatan senjata,” menurut kenyataan itu tanpa menjelaskan bentuk tindakan yang dimaksudkan.

Di bawah perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Presiden AS Donald Trump, Hamas setakat ini telah membebaskan 20 tebusan yang masih hidup, serta menyerahkan sembilan mayat rakyat Israel dan seorang rakyat Nepal.

Sebagai pertukaran, Israel membebaskan hampir 2,000 tahanan Palestin serta menyerahkan 135 mayat rakyat Palestin sejak gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.

Hamas dalam kenyataannya berkata, mereka memerlukan lebih banyak masa dan bantuan teknikal untuk mencari baki mayat yang masih tertimbus di bawah runtuhan di Gaza.

Pejabat Netanyahu turut memaklumkan bahawa beliau telah mengarah agar lintasan Rafah kekal ditutup sehingga diberitahu kelak. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN