PARIS: Perancis dan Sepanyol semalam menggesa agar penggunaan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dihadkan, selepas mekanisme itu berulang kali menggagalkan tindakan global terhadap krisis kemanusiaan, termasuk di Gaza.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, berkata Majlis Keselamatan perlu menjalani pembaharuan bagi mencerminkan realiti geopolitik semasa serta mengembalikan keabsahan terhadap keputusan yang dibuat badan tertinggi dunia itu.
“Kami mahu memastikan dua kerusi tetap Majlis Keselamatan diberikan kepada negara Afrika, manakala Jepun, Jerman dan Brazil turut diberikan kerusi bagi menjadikan keputusan badan ini lebih sah dan mewakili dunia,” katanya ketika berucap pada Forum Keamanan Paris.
Barrot menjelaskan, Perancis telah bekerjasama dengan Mexico sejak beberapa tahun lalu untuk mempromosikan inisiatif mengehadkan kuasa veto dalam kes kekejaman atau jenayah kemanusiaan, cadangan yang kini disokong lebih 20 negara.
“Kami gagal mencapai kata sepakat dalam isu Gaza. Majlis Keselamatan perlu memikul tanggungjawab moral dan politik untuk mempertahankan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, Barrot menegaskan reformasi Majlis Keselamatan amat penting bagi membuka sekatan keputusan yang disekat oleh kuasa veto apabila hak asasi manusia dicabuli.
Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares, turut menyokong pendirian tersebut, dengan menegaskan dasar luar Madrid adalah konsisten sama ada dalam isu Ukraine, Gaza, Sudan mahupun Sahil di gunung sahara.
“Kami mempertahankan undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan dan perlindungan terhadap orang awam,” katanya.
Albares turut menyifatkan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) sebagai badan penting, dengan berkata kehidupan enam juta rakyat Palestin di Timur Tengah bergantung kepada agensi itu.
Tegas beliau bantuan kemanusiaan mesti sampai ke Gaza tanpa halangan dan mereka yang menyerang petugas bantuan perlu dibawa ke muka pengadilan.
“Kita harus ingat bahawa keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) adalah mengikat kepada semua negara anggota PBB, termasuk Israel. Israel tidak boleh memiliki hak veto,” tegasnya. -AGENSI

 
								 
											









