Penyanyi rock AS maut nahas tragis dengan kereta peronda polis

Penyanyi rock maut nahas tragis dengan kereta peronda polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Dunia muzik rock Amerika Syarikat (AS) berduka dengan pemergian Ann Everton, penyanyi dan pemain utama kumpulan Darsombra yang maut dalam satu kemalangan tragis melibatkan kenderaan polis negeri New York.

Everton, 43 tahun, dilaporkan sedang dalam perjalanan bersama suaminya merangkap rakan sekumpulan, Brian Daniloski, menuju ke Montreal pada 3 Oktober lalu bagi pembukaan konsert pertama jelajah AS dan Kanada kumpulan mereka apabila kemalangan berlaku di Interstate 87, utara New York.

Menurut kenyataan polis negeri New York, van yang dinaiki pasangan itu merempuh kereta peronda polis yang berhenti di tepi jalan untuk menjalankan pemeriksaan trafik dengan lampu kecemasan dihidupkan.

Everton disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anggota polis dan Daniloski dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.

Berita pemergian tragis itu disahkan oleh abang iparnya melalui Instagram.

“Bagi pihak keluarga, dengan penuh kesedihan kami mengumumkan pemergian Ann Everton yang meninggal dunia secara mengejut pada petang Jumaat akibat kemalangan jalan raya. Kehilangannya amat dirasai oleh keluarga, rakan-rakan dan semua yang mengenalinya,” tulisnya.

Beliau menggambarkan Ann sebagai seorang seniman sejati yang menyerahkan sepenuh jiwa kepada projek muzik, visual dan video, serta membina kehidupan indah bersama suaminya melalui Darsombra, sebuah duo muzik eksperimental yang aktif menjelajah dunia dan menyokong komuniti artis bebas di Baltimore.

“Ann seorang yang luar biasa, penuh kasih dan dermawan. Dunia seni kehilangan figura unik yang sukar diganti,” katanya.

Suaminya, Brian Daniloski, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan kini sedang melalui tempoh pemulihan panjang. Bagi membantu kos rawatan dan keperluan jangka panjangnya, satu tabung GoFundMe diwujudkan yang setakat ini berjaya mengumpul lebih AS$49,500 (RM208,657).

“Kami tahu Ann pasti mahu memastikan Brian dijaga dengan baik dalam waktu sukar ini,” ujar keluarga dalam kenyataan tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN