WASHINGTON: Penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menghentikan aliran rasmi data ekonomi kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pembuat dasar di Jepun dan negara lain.
Negara-negara tersebut bergantung kepada maklumat prestasi ekonomi terbesar dunia itu untuk menilai unjuran mata wang, perdagangan dan inflasi masing-masing.
Pakar antarabangsa memberi amaran ketiadaan data ekonomi akibat penutupan kerajaan boleh menyukarkan proses membuat dasar dan meningkatkan risiko kesilapan, terutama ketika negara sedang menyesuaikan diri dengan usaha pentadbiran Presiden Donald Trump merombak semula sistem perdagangan global.
“Ini satu masalah yang serius. Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan segera,” kata Gabenor Bank of Japan, Kazuo Ueda dalam siding media pada 3 Oktober ketika membincangkan cabaran yang dihadapi bank pusat itu dalam menentukan masa sesuai untuk menyambung semula kenaikan kadar faedah.
Ahli Jawatankuasa Dasar Bank of England, Catherine Mann berkata, isu seperti gangguan data ekonomi AS dan perdebatan mengenai kebebasan Rizab Persekutuan (Fed) tidak banyak mempengaruhi perbincangan dasar BOE.
Sebaliknya, beliau berkata perubahan dalam dasar perdagangan lebih memberi kesan secara langsung kerana ia menjejaskan harga barangan dan prospek eksport negara.
Namun, beliau menjelaskan nilai pound British juga pernah perlahan-lahan kehilangan kedudukannya sebagai mata wang utama dunia, proses yang mengambil masa bertahun-tahun dan dipengaruhi pelbagai faktor kecil.
“Perubahan dasar yang menjejaskan kedudukan dollar AS atau melemahkan kebebasan Fed adalah perkara yang kami ambil kira, tetapi bukan tumpuan utama.
“Ia ibarat anai-anai, bukan ancaman segera namun tetap berisiko dalam jangka panjang,” kata Mann.
Minggu ini, pemimpin kewangan dan ekonomi dari seluruh dunia berkumpul di Washington bagi menghadiri mesyuarat Bank Dunia serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Dalam keadaan dunia yang masih berdepan perang di Eropah, ketegangan di Asia Barat dan masalah jangka panjang seperti perubahan iklim, perbincangan banyak tertumpu kepada rancangan Trump, prestasinya setakat ini, serta pemberhentian mendadak data rasmi tentang ekonomi AS bernilai AS$30 trilion (RM126.91 trillion), yang mewakili kira-kira satu perempat ekonomi dunia.- AGENSI