Pemulihan pasca perang Syria cecah AS$216 bilion – Bank Dunia - Utusan Malaysia

Pemulihan pasca perang Syria cecah AS$216 bilion – Bank Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Kos pemulihan semula Syria yang musnah akibat perang saudara selama 13 tahun dianggarkan antara AS$140 bilion (RM592 bilion) hingga AS$345 bilion (RM1.4 trilion) dengan anggaran konservatif sebanyak AS$216 bilion (RM913.6 bilion), menurut Bank Dunia pada Selasa, lapor agensi Anadolu.

Laporan bertajuk The Syrian Conflict: Physical Damage and Reconstruction Assessment (2011–2024) oleh institusi pembangunan itu mendapati konflik berkenaan telah menyebabkan kemusnahan fizikal bernilai AS$108 bilion (RM456.8 bilion), iaitu kira-kira satu pertiga daripada jumlah modal kasar negara tersebut.

Sektor infrastruktur mencatatkan kemusnahan paling teruk, menyumbang 48 peratus daripada jumlah keseluruhan kerosakan sebanyak AS$52 bilion (RM219.8 bilion), diikuti bangunan kediaman AS$33 bilion (RM139.5 bilion) dan bangunan bukan kediaman AS$23 bilion (RM97.2 bilion). Antara wilayah paling terjejas termasuk Aleppo, Rif Dimashq dan Homs.

“Anggaran kerosakan dan kos pembinaan semula ini dibuat dalam konteks keadaan makroekonomi Syria yang sudah pun tenat,” menurut laporan itu.

Antara tahun 2010 dan 2022, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Syria merosot sebanyak 53 peratus. Dari segi nilai nominal, KDNK menurun daripada AS$67.5 bilion (RM285.4 bilion) pada 2011 kepada hanya AS$21.4 bilion (RM90.4 bilion) pada 2024.

Bank Dunia menjelaskan, kos pemulihan yang dianggarkan bersamaan hampir 10 kali ganda KDNK 2024, mencerminkan betapa besar skala kemusnahan dan kesan penyusutan ekonomi yang berpanjangan akibat perang.

Selain itu, sekatan ekonomi dan gangguan akibat konflik telah menyebabkan kebergantungan tinggi kepada import, kehabisan rizab asing, serta kelemahan sumber fiskal negara. Pada 2024, perbelanjaan modal kerajaan hanya 11 peratus daripada paras tahun 2010.

“Keadaan ini terus mengehadkan keupayaan makroekonomi dan fiskal Syria untuk menampung skala besar kos pembinaan semula,” tambah laporan itu.

Menteri Kewangan Syria, Yisr Barnieh, dipetik portal Economy Middle East berkata laporan itu menjadi penanda aras penting bagi memahami skala sebenar kemusnahan dan cabaran pemulihan yang bakal dihadapi.

“Sekarang, lebih daripada sebelumnya, amat penting bagi masyarakat antarabangsa untuk menggembleng sokongan dan kerjasama bagi membantu Syria memulihkan infrastruktur penting, menghidupkan semula komuniti, dan membina asas masa depan yang lebih kukuh untuk rakyatnya,” katanya.

Perang saudara Syria berakhir pada Disember tahun lalu selepas Presiden Bashar al-Assad yang memerintah hampir 25 tahun, melarikan diri ke Russia, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang berkuasa sejak tahun 1963. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN