CHUMPHON: Seorang pemilik gudang durian terkemuka di daerah Lang Suan, selatan Thailand mencetuskan kontroversi apabila menawarkan ganjaran sebanyak 30,000 baht (RM3,898) kepada sesiapa yang sanggup menyerang kekasih gelap anak lelakinya, kerana bimbang hubungan sulit itu akan memusnahkan keharmonian keluarganya.
Pemilik gudang berkenaan, Arnon Rodthong, mendedahkan skandal berkenaan melalui hantaran di laman Facebook miliknya dan secara terbuka menawarkan bayaran kepada sesiapa yang menampar wanita tersebut sekurang-kurangnya 10 kali.
“Kepada semua geng di daerah Lang Suan, saya akan bayar 30,000 baht kepada sesiapa yang menampar kekasih anak saya. Dia memang layak menerima hukuman itu kerana berlaku curang. Dia sudah bersuami, tetapi masih menjalin hubungan dengan anak saya.” Ujarnya di laman sosial Facebook.
Arnon kemudian menjelaskan wanita berkenaan, dikenali sebagai On, merupakan bekas pekerjanya sebelum berkahwin dengan anak saudaranya namun, perempuan tersebut dilaporkan menjalinkan hubungan sulit dengan anak Arnon yang sudah beristeri.
Katanya, hantaran itu dibuat bagi melindungi menantunya yang tidak bersalah dan bagi menyedarkan anaknya supaya menamatkan hubungan terlarang tersebut.
Arnon turut mendakwa sanggup membayar sebarang denda polis terhadap individu yang menampar On, dan ganjaran itu akan kekal sehingga hubungan antara anaknya dan wanita itu benar-benar berakhir.
Dalam hantaran sama, Arnon turut meminta polis menahan dan menggeledah trak pikap anaknya, dengan dakwaan anaknya memiliki dua pucuk senjata api tanpa lesen malah, beliau turut menawarkan ganjaran tambahan sebanyak 50,000 baht (RM6,497) kepada pihak berkuasa yang berjaya menahan anaknya.
Tindakan Arnon tular di media sosial Thailand mengundang pelbagai reaksi dimana ada yang mempersoalkan kesahihan tindakan undang-undangnya, manakala ada juga yang memuji keberaniannya mempertahankan maruah keluarga serta menantunya.
Dalam temu bual bersama media, Arnon mengakui tindakannya melanggar undang-undang tetapi menegaskan beliau bersedia berdepan sebarang tindakan kerana hanya mahu menegakkan keadilan dalam keluarganya.
“Saya lebih rela mati daripada melihat keluarga saya hancur,” katanya.
Beliau turut mendedahkan anaknya pernah mengugut isterinya dengan pistol selepas kantoi bersama On, dan isterinya telah membuat laporan di Balai Polis Ban Nai Hud.
Sehingga kini, pihak polis tempatan masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden itu namun, Arnon menegaskan beliau akan terus membuat hantaran di Facebook bagi mendedahkan kecurangan anaknya sehingga lelaki itu berhenti daripada perbuatan tersebut. — AGENSI










