NEW YORK: Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, menyifatkan pelanggaran terbaharu gencatan senjata di Gaza sebagai ‘mengecewakan dan mengelirukan’ namun menegaskan Doha segera bertindak bersama Amerika Syarikat (AS) bagi mengekang keadaan daripada bertambah buruk.
Bercakap di Majlis Hubungan Luar (Council on Foreign Relations) di New York, Sheikh Mohammed berkata Qatar menyaksikan beberapa pelanggaran gencatan senjata sejak perjanjian dimeterai, namun kebanyakan insiden kecil itu tidak dilaporkan.
“Tetapi apa yang berlaku semalam amat mengecewakan dan membingungkan kami. Kami segera bertindak, dan dalam penyelarasan penuh dengan Amerika Syarikat, untuk memastikan situasi terkawal,” katanya seperti dipetik oleh Agensi Anadolu.
Beliau mengesahkan insiden pada Selasa itu dianggap sebagai “pelanggaran oleh pihak Palestin,” namun menegaskan Qatar belum menerima sebarang pengesahan rasmi. Hamas pula menafikan penglibatan dalam serangan di bandar Rafah yang mengorbankan seorang askar Israel.
“Kami belum dapat pengesahan sama ada laporan itu benar atau tidak,” katanya, sambil menegaskan bahawa keutamaan Qatar kekal pada mengekalkan gencatan senjata dan mengelakkan peningkatan semula keganasan.
Qatar bersama Turkiye, Mesir dan Amerika Syarikat merupakan perantara utama dalam perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada 10 Oktober lalu, dan dimeterai secara rasmi dalam sidang kemuncak antarabangsa di Sharm el-Sheikh, Mesir.
Kenyataan Sheikh Mohammed dibuat susulan laporan Kementerian Kesihatan Gaza yang mendakwa tentera Israel telah membunuh lebih 100 penduduk Palestin, termasuk 46 kanak-kanak, sejak Selasa malam, sekali gus melanggar perjanjian gencatan senjata tersebut.
Menurut kementerian itu, serangan baharu Israel turut menyebabkan 253 orang cedera, termasuk 78 kanak-kanak dan 84 wanita. Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, sekurang-kurangnya 211 orang terbunuh dan 597 cedera akibat serangan berterusan Israel.
Secara keseluruhan, tentera Israel dilaporkan telah membunuh lebih 68,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak serangan balas dilancarkan selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023. Serangan tanpa henti itu telah memusnahkan hampir keseluruhan Gaza, menjadikannya tidak lagi layak didiami serta menyebabkan kebuluran dan penularan penyakit di wilayah berkenaan.










