Pegawai polis didakwa keluar makan piza ketika terima panggilan kes tembakan

Pegawai polis didakwa keluar makan piza ketika terima panggilan kes tembakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRENTON: Seorang pegawai polis di New Jersey didakwa atas salah laku tugas selepas didapati tidak segera bertindak balas terhadap laporan tembakan yang kemudiannya dikenal pasti sebagai kes pembunuhan berganda  kerana singgah di mesin ATM dan restoran piza, menurut pejabat pendakwa daerah Hunterdon.

Sersan Kevin Bollaro, daripada Jabatan Polis Franklin Township, merupakan pegawai bertugas pada 1 Ogos, apabila polis menerima beberapa panggilan kecemasan 911 melaporkan bunyi tembakan dan jeritan di Pittstown, kira-kira 96 kilometer dari Manhattan.

Namun, menurut pendakwa, data GPS dan rakaman kamera keselamatan menunjukkan Bollaro memandu hampir tiga kilometer ke arah bertentangan dari lokasi kejadian untuk ke bank.

Walaupun pusat kawalan menerima lebih banyak panggilan daripada penduduk yang cemas, Bollaro bergerak tanpa menghidupkan lampu kecemasan atau siren kenderaannya.

Setibanya di lokasi pemanggil pertama, Bollaro memaklumkan kepada pengendali ang beliau tidak mendengar apa-apa dan akan menuju ke lokasi pemanggil lain.

Tetapi siasatan mendapati beliau tidak pernah ke lokasi-lokasi tersebut sebelum meminta agar dirinya dikeluarkan daripada tugasan itu.

Sebaliknya, menurut pendakwa, Bollaro terus menuju ke restoran Duke’s Pizzeria di Pittstown, di mana beliau berada hampir satu jam sebelum singgah di sebuah restoran lain selama kira-kira sejam lagi.

Dalam laporan rasmi yang dikemukakan kemudian, Bollaro didakwa memasukkan maklumat palsu mengenai siasatannya, termasuk mendakwa sedang memeriksa kawasan pada masa beliau sebenarnya dalam perjalanan ke restoran piza.

Keesokan harinya, pada 2 Ogos, polis menemui mayat dua individu, Lauren Semanchik, 33, dan Tyler Webb, 29, di sebuah rumah kira-kira 183 meter dari lokasi pemanggil pertama.

Pendakwa menyatakan kedua-duanya ditembak mati oleh Leftenan Polis Negeri New Jersey, Ricardo Santos yang kemudian membunuh diri.

Bollaro kini berdepan pertuduhan salah laku rasmi kerana dengan sengaja gagal melaksanakan tugasnya sebagai pegawai polis, serta menyalahgunakan rekod awam kerana memasukkan kenyataan palsu dalam laporan insiden.

Beliau dijadualkan hadir ke mahkamah pada 5 November.

Peguamnya, Charles Sciarra menyifatkan pertuduhan itu sebagai malang dan menegaskan tiada tindakan atau kelalaian Bollaro hari itu yang menyebabkan atau boleh menghalang pembunuhan tersebut.

Namun, keluarga mangsa menyatakan mereka terkejut dengan kelakuan Bollaro dan percaya insiden itu hanyalah contoh kepada banyak kegagalan polis tempatan dan negeri dalam menangani kes tersebut, lapor WABC-TV.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN