BRUSSELS: Negara Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk menamatkan sepenuhnya import gas dari Russia menjelang penghujung 2027, sekaligus mengorak langkah penting dalam usaha blok itu memutuskan kebergantungan terhadap tenaga Russia yang berlarutan sejak perang di Ukraine bermula.
Persetujuan itu dicapai pada Isnin apabila menteri-menteri tenaga EU yang bermesyuarat di Luxembourg meluluskan pelan Suruhanjaya Eropah untuk menghentikan secara berperingkat import gas saluran paip dan gas asli cecair (LNG) dari Russia.
Pelan tersebut kini menunggu kelulusan Parlimen Eropah.
Menteri Tenaga Denmark, Lars Aagaard, yang kini memegang jawatan presiden bergilir EU menyifatkan keputusan itu sebagai langkah penting ke arah menjadikan Eropah lebih berdikari dalam bidang tenaga.
“Walaupun kita telah berusaha keras untuk menyingkirkan gas dan minyak Russia daripada Eropah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, usaha itu belum selesai sepenuhnya,” katanya.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi meluas EU untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan tenaga Russia yang selama ini menjadi sumber utama bagi banyak negara anggota.
Suruhanjaya Eropah turut mencadangkan agar import LNG dari Russia dihentikan setahun lebih awal iaitu menjelang Januari 2027, sebagai sebahagian daripada pakej sekatan baharu bagi mengekang sumber kewangan Moscow.
Namun, sekatan seperti itu memerlukan persetujuan sebulat suara daripada 27 negara anggota EU, sesuatu yang sering sukar dicapai.
Sebaliknya, sekatan perdagangan seperti yang diluluskan pada 20 Oktober hanya memerlukan sokongan majoriti berat daripada 15 negara.
Menurut diplomat EU, semua negara anggota menyokong keputusan tersebut kecuali Hungary dan Slovakia, yang masih bergantung pada gas Russia melalui saluran paip dan mempunyai hubungan diplomatik lebih rapat dengan Kremlin.
Menteri Luar Hungary, Peter Szijjarto mengkritik langkah itu dengan berkata, peraturan tersebut akan menjejaskan keselamatan bekalan tenaga di Hungary sambil menegaskan bahawa negara tanpa pantai itu bergantung kepada gas Russia kerana kekangan geografi.
Berdasarkan pelan yang diluluskan itu, kontrak baharu bagi import gas Russia akan diharamkan mulai 1 Januari 2026, manakala kontrak sedia ada akan diberikan tempoh peralihan dengan kontrak jangka pendek dibenarkan sehingga 17 Jun 2026, dan kontrak jangka panjang sehingga 1 Januari 2028.
Walaupun import gas melalui saluran paip dari Russia telah menurun dengan ketara sejak pencerobohan Ukraine, beberapa negara Eropah dilaporkan meningkatkan pembelian LNG Russia yang dihantar melalui laut.
Sehingga tahun 2025, gas Russia masih menyumbang kira-kira 13 peratus daripada jumlah import tenaga EU, dengan nilai tahunan melebihi €15 bilion (RM73.75 bilion), menurut data Suruhanjaya Eropah. -AGENSI