MELBOURNE: Seorang lelaki Australia didakwa selepas dituduh mencuri puluhan anak patung Labubu bernilai kira-kira A$9,000 (RM24,724) lapor media tempatan.
Polis Victoria menyerbu sebuah premis di Melbourne pada Selasa dan merampas 43 anak patung Labubu, termasuk beberapa edisi terhad yang bernilai sehingga A$500 (RM1,371) setiap satu.
Menurut polis, koleksi anak patung itu dicuri daripada sebuah pusat beli-belah dalam empat kejadian rompakan berasingan sejak Julai lalu.
Anak patung Labubu, ciptaan syarikat China Pop Mart, menampilkan reka bentuk unik, tubuh lembut seperti mainan gebu dengan wajah vinil, telinga runcing dan senyuman nakal yang memperlihatkan sembilan batang gigi.
Mainan comel berbentuk makhluk dongeng itu kini menjadi fenomena global, mencetuskan barisan panjang di luar kedai dan melonjakkan keuntungan besar bagi Pop Mart.
Dalam kenyataan media bertajuk “These Labubu are not for you you”, Polis Victoria berkata lelaki berusia 40 tahun itu kini dihadapkan dengan empat pertuduhan pecah masuk dan dua pertuduhan mencuri.
Suspek telah dibebaskan dengan jaminan dan dijadualkan hadir ke Mahkamah Majistret Melbourne pada Mei tahun depan.
Dilancarkan pada 2019, anak patung Labubu telah membantu Pop Mart berkembang pesat sebagai peruncit global utama, dengan lebih 2,000 mesin layan diri dan kedai di seluruh dunia.
Kegilaan terhadap Labubu turut meningkat di Amerika Syarikat (AS), didorong oleh sokongan selebriti terkenal seperti Kim Kardashian dan Lisa daripada kumpulan Blackpink.
Bagaimanapun, saham Pop Mart merosot beberapa minggu kebelakangan ini selepas bank pelaburan JPMorgan memberi amaran bahawa syarikat itu mungkin dinilai terlalu tinggi dan sukar mengekalkan tahap populariti global yang luar biasa itu. -AGENSI