Laut semakin panas, terumbu karang seluruh dunia di ambang kepupusan - Utusan Malaysia

Laut semakin panas, terumbu karang seluruh dunia di ambang kepupusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Terumbu karang tropika di seluruh dunia kini dipercayai melepasi “titik kritikal” akibat peningkatan suhu lautan yang mendadak, menurut laporan saintifik global yang diterbitkan pada Isnin.

Ini merupakan kali pertama komuniti saintifik antarabangsa mengesahkan perubahan tidak dapat dipulihkan telah pun bermula terhadap salah satu ekosistem laut terpenting dunia.

Laporan yang disediakan oleh 160 saintis dari pelbagai institusi penyelidikan antarabangsa itu menyatakan pada tahap pemanasan global semasa iaitu sekitar 1.4 darjah Celsiuc berbanding era praindustri.

Apabila suhu lautan meningkat, karang akan mengusir alga mikroskopik yang menjadi sumber warna dan makanan utama mereka. Jika suhu tidak kembali ke tahap normal, karang akan mati akibat kebuluran.

Sejak 2023, fenomena pelunturan yang meluas dilaporkan di seluruh Lautan Pasifik, Hindi dan Atlantik, mengesahkan berlakunya perubahan ekosistem secara drastik.

Para saintis menjangkakan walaupun sesetengah spesies karang tahan haba mungkin bertahan lebih lama, terumbu secara keseluruhan akan berubah menjadi ekosistem kurang kompleks yang dikuasai oleh alga, span dan organisma ringkas lain.

Proses ini akan menghakis struktur semula jadi terumbu dan menjejaskan lebih sejuta spesies laut serta kehidupan ratusan juta manusia.

Ketua penyelidik, Prof. Tim Lenton dari Universiti Exeter berkata, ini bukan lagi sekadar amaran tentang risiko masa depan.

“Kita kini menyaksikan secara langsung apa yang berlaku selepas titik kritikal dilampaui,” katanya.

Katanya, langkah paling penting adalah menghentikan pelepasan gas rumah hijau yang memanaskan atmosfera.

Laporan itu turut memberi amaran risiko terhadap ekosistem lain seperti Hutan Hujan Amazon dan lapisan ais di Greenland serta Antartika Barat juga semakin meningkat, walaupun suhu global hanya meningkat di bawah dua darjah Celsius.

Brazil, sebagai tuan rumah kepada mesyuarat menteri-menteri iklim sebelum COP30 bulan depan, dijangka memberi perhatian serius terhadap penemuan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN