MOSCOW: Siasatan terbaharu oleh portal bebas, Verstka, mendedahkan dakwaan mengejutkan mengenai komander tentera Russia yang didakwa membunuh askar mereka kerana enggan berperang di Ukraine.
Laporan tersebut yang disusun berdasarkan testimoni anggota tentera, keluarga mangsa, rakaman video bocor serta aduan rasmi kepada pihak pendakwa tentera, menggambarkan budaya kekerasan dan ketakutan yang semakin parah dalam struktur tentera Russia.
Menurut Verstka, sekurang-kurangnya 101 anggota tentera Russia dikenal pasti terlibat dalam pembunuhan, dan penyeksaan terhadap rakan seperjuangan mereka sendiri disamping turut mengesahkan 150 kematian yang disabitkan dengan kes seumpama itu, namun jumlah sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.
Sejak pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine pada 2022, laporan mengenai unit penghalang yang menembak askar sendiri ketika cuba berundur sudah lama tersebar namun, laporan Verstka ini dianggap paling menyeluruh setakat ini, memperincikan cara sistematik komander memaksa kepatuhan melalui keganasan dalaman.
Antara dakwaan paling serius termasuk peranan penembak pelaksana hukuman yang diarahkan menembak askar enggan bertempur sebelum mayat mereka dibuang ke sungai atau ditanam cetek, kemudian direkodkan sebagai maut dalam pertempuran.
Ada juga kes komander menggunakan drone dan bahan letupan untuk membunuh askar yang cedera atau berundur, seolah-olah serangan itu berpunca daripada pihak musuh.
Portal tersebut turut mendedahkan kes-kes askar diseksa hingga mati, termasuk dipenjarakan di lubang tertutup jeriji besi, disiram air dan dipukul berjam-jam lamanya dan dalam beberapa kes, mereka dipaksa bertarung sesama sendiri seperti gladiator moden sehingga salah seorang mati.
Laporan Verstka turut mengaitkan pembunuhan dalaman dengan skim ugutan kewangan, di mana komander menuntut bayaran daripada askar bagi mengelak dihantar ke misi bunuh diri dan mereka yang enggan membayar dilabel sebagai “zeroed”, istilah tentera Russia bagi askar yang dihapuskan.
Antara bentuk misi maut yang didedahkan ialah arahan kepada askar berjalan di hadapan kumpulan serangan tanpa senjata atau peralatan, hanya untuk menarik tembakan musuh satu peranan yang digelar “mayachki” atau suar manusia.
Verstka turut memperoleh data rasmi menunjukkan Pejabat Pendakwa Tentera Utama Russia menerima hampir 29,000 aduan daripada askar dan keluarga mereka sepanjang separuh pertama tahun ini, dengan lebih 12,000 daripadanya berkaitan hukuman oleh pegawai atasan sendiri.
Sumber dalam pejabat pendakwa tentera memaklumkan kepada portal itu mengenai kewujudan larangan tidak rasmi terhadap penyiasatan ke atas pegawai yang masih bertugas di zon pertempuran.
“Mereka kata, ‘Kalau kita buka siasatan, ia boleh jejaskan operasi.’ Ertinya, pegawai-pegawai ini kebal sepenuhnya daripada tindakan undang-undang,” kata sumber berkenaan. -AGENSI

 
								 
											









