WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berdepan risiko mengalami ‘satu daripada penutupan kerajaan paling lama dalam sejarah negara itu’ jika Parti Demokrat terus enggan meluluskan rang undang-undang pembiayaan, kata Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson.
Dalam satu sidang media sempena hari ke-13 penutupan kerajaan persekutuan, Johnson menyalahkan Parti Demokrat atas kebuntuan yang masih belum menemui jalan penyelesaian.
Beliau mendakwa sikap enggan berkompromi oleh pihak Demokrat hanya mendorong negara ke arah krisis yang berpanjangan, lapor agensi berita Anadolu Ajansi.
“Ini berpotensi menjadi penutupan kerajaan ketiga terpanjang dalam sejarah Amerika.
“Kita menuju ke arah satu daripada penutupan paling lama dalam sejarah jika Demokrat tidak menghentikan tuntutan mereka dan segera meluluskan bajet bersih tanpa syarat, demi membuka semula kerajaan dan membayar gaji kakitangan persekutuan,” katanya kepada pemberita di Capitol Hill.
Menurut Johnson, Parti Republikan bersedia berbincang mengenai peruntukan tahunan dan isu-isu perundangan lain yang mendesak, namun menegaskan rundingan hanya akan dilakukan secara telus.
Meskipun penutupan kerajaan tidak semestinya mencetuskan krisis ekonomi yang besar, ia tetap mengganggu pelbagai aspek kehidupan rakyat dan menambahkan ketidaktentuan dalam ekonomi terbesar dunia itu.
Sejumlah besar kakitangan kerajaan persekutuan telah diarahkan untuk bercuti tanpa gaji, manakala sebahagian yang lain terpaksa terus bekerja tanpa bayaran. Ada juga yang dikenakan cuti wajib sehingga bajet baharu diluluskan.
Setiap agensi persekutuan mempunyai pelan penutupan tersendiri yang menentukan kakitangan mana dikategorikan sebagai ‘penting’.