Kapal Marinette teruskan pelayaran ke Gaza - Utusan Malaysia

Kapal Marinette teruskan pelayaran ke Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Di sebalik tindakan tegas Israel memintas lebih 40 kapal dalam flotila bantuan ke Gaza, sebuah kapal bernama Marinette dilaporkan masih meneruskan pelayaran menuju ke Semenanjung Gaza.

Menurut data penjejakan dan siaran langsung dari flotila Global Sumud, Marinette yang menghadapi masalah mekanikal sebelum ini telah ketinggalan di belakang kumpulan utama armada.

Kapal itu kini dilaporkan berada kira-kira 80 batu nautika (148 kilometer) dari perairan Gaza.

Kesemua kapal lain dalam flotila tersebut dipintas dan ditunda ke pelabuhan Ashdod oleh tentera laut Israel, dalam usaha menyekat sebarang cubaan memecahkan sekatan laut ke atas Gaza.

Kementerian Luar Negeri Israel sebelum ini mengeluarkan amaran keras, menyatakan jika Marinette menghampiri Gaza, ia juga akan dihalang atas alasan keselamatan, memandangkan kawasan tersebut diisytiharkan sebagai zon konflik aktif.

Global Sumud Flotilla menyifatkan misi mereka sebagai usaha kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan terus ke Gaza, yang kini berdepan krisis kemanusiaan kritikal akibat sekatan berpanjangan dan serangan berterusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×