BAYEUX: Konflik di Gaza, Sudan dan Ukraine menjadi tumpuan utama pada Anugerah Kewartawanan Peperangan Bayeux ke-32 di Perancis, apabila wartawan dari seluruh dunia diraikan atas liputan luar biasa mereka dalam zon peperangan.
Jurufoto Palestin, Saher Alghorra dari Zuma Press, memenangi Hadiah Utama Fotografi menerusi siri gambar bertajuk ‘Trapped in Gaza: Between Fire and Famine’ yang menggambarkan penderitaan penduduk awam yang terperangkap akibat serangan tentera Israel.
Alghorra, yang masih berada di Gaza sebelum ini pernah memenangi anugerah wartawan muda pada tahun lalu.
Sementara itu, Wolfgang Bauer dari Zeit Magazin Jerman memenangi Hadiah Utama Kewartawanan Cetak melalui laporan bertajuk ‘The Forgotten’, yang mengisahkan satu-satunya hospital yang masih mampu menjalankan pembedahan di ibu negara Sudan, Khartoum.
Dalam kategori radio, Maurine Mercier dari RTS-RTBF, wartawan berdarah Swiss-Kanada yang juga pemenang dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023, sekali lagi diiktiraf menerusi laporan bertajuk ‘Pokrovsk: Two Flowers in the Ruins’ yang menyorot kisah kehidupan dan ketabahan wanita di timur Ukraine di tengah kehancuran perang.
Bagi kategori televisyen, Julie Dungelhoeff, James Andre, dan Sofia Amara dari France 24 membawa pulang anugerah tertinggi melalui laporan dokumentari Survivors of Hell in Assad’s Jails yang memberi tumpuan kepada kisah para tahanan yang terselamat dari penjara rejim Syria selepas kawasan tersebut dibebaskan oleh kumpulan pemberontak.
Anugerah berprestij yang diadakan setiap tahun di bandar Bayeux, Normandy ini diiktiraf sebagai antara platform tertinggi dunia untuk menghargai wartawan medan perang yang mempertaruhkan nyawa demi melaporkan kebenaran dari zon konflik global. -AFP