Jerman enggan benarkan kemasukan kanak-kanak cedera dari Gaza

Jerman enggan benarkan kemasukan kanak-kanak cedera dari Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Kerajaan Jerman menolak tawaran bandar Hanover di utara negara itu untuk menerima sehingga 20 kanak-kanak dari Semenanjung Gaza yang cedera dan trauma, lapor media.

“Kami amat kesal dengan maklum balas daripada Kementerian Dalam Negeri Persekutuan. Penolakan ini amat mengecewakan dan sukar difahami,” kata Datuk Bandar Hanover, Belit Onay yang berasal daripada keluarga imigran Turkiye.

Menurut agensi berita Anadolu, pandangan Onay turut disokong oleh Presiden Wilayah Hanover, Steffen Krach yang menegaskan lebih 16,000 penduduk Gaza bergantung pada rawatan perubatan dari luar negara.

“Tidak memberikan bantuan ini, sekurang-kurangnya kepada mereka yang paling memerlukan iaitu kanak-kanak adalah satu tindakan yang kejam,” tambah Krach.

Menurut sepucuk surat daripada kementerian yang diperoleh Agensi Akhbar Jerman (dpa), meskipun terdapat kemajuan ke arah penamatan pertempuran baru-baru ini, situasi di Semenanjung Gaza masih sangat tidak menentu dan sukar dijangka.

Menurut surat itu, perkara itu juga melibatkan pihak berkuasa Israel dan Mesir yang bertanggungjawab mengeluarkan permit keluar.

Pemindahan kanak-kanak untuk rawatan di Jerman melibatkan prosedur yang rumit termasuk pengesahan identiti pesakit, ahli keluarga yang menemani mereka, penilaian keselamatan, kos rawatan, serta kebolehlaksanaan untuk mereka kembali semula ke Gaza.

Daripada perspektif kerajaan Jerman, surat itu menyebut lebih wajar untuk menyalurkan bantuan bagi merawat mangsa cedera dan pesakit tenat di kawasan tempatan.

“Saya berharap dapat menjelaskan kami sehaluan dalam keinginan untuk membantu penduduk awam yang terjejas, khususnya kanak-kanak di Gaza, namun kami melihat cara yang berbeza dari sudut pandangan kami untuk menyalurkan bantuan kepada seramai mungkin orang,” jelas surat itu.

Selain Hanover, bandar-bandar lain seperti Bremen, Dusseldorf, Leipzig, Bonn, Frankfurt dan Kiel turut menyertai inisiatif ini.

Gereja Protestan di negeri Lower Saxony, tempat Hanover terletak, juga menyatakan sokongan terhadap usaha tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN