TEBING BARAT: Tentera Israel bertindak menutup sebuah pertubuhan kebajikan Palestin yang menyediakan penjagaan kepada anak yatim di bandar Hebron, Tebing Barat serta merampas peralatan pejabat dan komputer badan itu.
Menurut seorang penasihat undang-undang pertubuhan itu, Abdel Karim Farah, pasukan tentera Israel menyerbu pejabat pentadbiran Persatuan Kebajikan Islam dan menahan beberapa kakitangan di tingkat atas bangunan tiga tingkat itu selama beberapa jam.
Beliau berkata, tentera rejim turut menggeledah pejabat di kawasan Al-Hawouz sebelum merampas peralatan dan komputer serta mengunci bangunan tersebut tanpa memberikan sebarang penjelasan mengenai sebab penutupan atau tempohnya.
Ditubuhkan pada 1961, pertubuhan itu mengurus penjagaan anak yatim dan mengendalikan sekolah untuk pelajar lelaki dan perempuan, selain menjadi pusat hafazan al-Quran di Hebron.
Ia merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) paling berpengaruh di Tebing Barat, menyokong lebih 6,000 anak yatim daripada kira-kira 2,000 keluarga.
Sekolah Sharia Boys, antara institusi di bawah persatuan itu memaklumkan di platform media sosial Facebook, serbuan berkenaan menyasarkan ibu pejabat pentadbiran pertubuhan yang terletak bersebelahan sekolah tersebut, sambil mengesahkan sesi pembelajaran diteruskan seperti biasa.
Serangan Israel di seluruh Tebing Barat yang diduduki telah meningkat sejak Oktober 2023, mengorbankan lebih 1,056 rakyat Palestin, mencederakan 10,300 dan menahan lebih 20,000 orang.
Dalam satu pendapat bersejarah pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah dan menggesa supaya semua penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur dikosongkan.
Namun, sehingga kini tiada tindakan signifikan dilakukan terhadap keputusan itu.-AGENSI