TEL AVIV: Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich menyatakan beliau tidak akan bersetuju dengan perjanjian normalisasi dengan Arab Saudi jika ia melibatkan penubuhan sebuah negara Palestin, sambil menghina negara itu dengan kenyataan mereka boleh ‘terus menunggang unta’.
“Jika Arab Saudi berkata kepada kita ‘normalisasi sebagai pertukaran untuk sebuah negara Palestin’, tidak perlu. Teruskan menunggang unta di padang pasir di Arab Saudi, dan kami akan terus membangunkan ekonomi, masyarakat dan negara serta perkara-perkara hebat yang kita tahu lakukan,” kata Smotrich.
Kenyataan Smotrich itu menerima kecaman daripada beberapa pemimpin pembangkang yang menuduhnya jahil dan memudaratkan imej negara, menegaskan beliau tidak mewakili Israel serta menuntut beliau memohon maaf.
Beberapa jam kemudian, ketua parti sayap kanan Religious Zionism itu tampil memohon maaf, namun dengan syarat tertentu.
“Komen saya mengenai Arab Saudi memang tidak wajar dan saya memohon maaf atas penghinaan yang berlaku.
“Namun, saya mengharapkan Arab Saudi tidak memudaratkan kami dan tidak menafikan warisan, tradisi serta hak rakyat Yahudi terhadap tanah bersejarah mereka di Judea dan Samaria, dan agar benar-benar membina keamanan dengan kami,” katanya.
Kenyataan tersebut dibuat susulan undian di Knesset pada Rabu yang meluluskan bacaan awal rang undang-undang untuk menguatkuasakan kedaulatan Israel ke atas penempatan haram di Tebing Barat, meskipun ditentang oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan parti Likud.
Ramai dalam gabungan Netanyahu lantang menggesa supaya pendudukan dipercepatkan sebagai tindak balas terhadap pengiktirafan negara Palestin oleh kuasa Barat bulan lalu.
Pada awal September, Smotrich secara terbuka menyeru agar 82 peratus wilayah Tebing Barat diduduki walaupun negara-negara serantau memberi amaran bahawa langkah itu bakal menamatkan proses integrasi Israel ke dalam dunia Arab.









