GAZA: Gencatan senjata kembali berkuatkuasa di Gaza selepas sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh akibat serangan tentera Israel di wilayah itu semalam.
Insiden itu menyaksikan hampir 100 penduduk Gaza terbunuh akibat serangan Israel sejak gencatan senjata dilaksana pada 11 Oktober lalu.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata serangan menyasarkan pelbagai kawasan di Gaza dan mengakibatkan kematian besar, sekali gus menjadikan semalam antara hari paling berdarah.
“Sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh akibat serangan udara Israel di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza,” katanya kepada agensi berita AFP.
Empat hospital utama di Gaza turut mengesahkan angka korban, menyatakan mereka menerima mayat dan mangsa yang cedera dari beberapa lokasi, termasuk di Rafah, Khan Younis, Deir al-Balah dan kawasan utara Gaza.
Tentera Israel dalam kenyataan berasingan memberi alasan serangan itu dilancarkan untuk menyerang berpuluh-puluh sasaran Hamas di seluruh Gaza.
Tindakan itu diambil selepas pejuang Hamas melancarkan serangan terhadap pasukan Israel di selatan Gaza, mengorbankan dua anggota tentera Israel dan mencederakan tiga lagi.
Namun, dalam kenyataan rasmi pada petang Ahad, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa mereka kini ‘memperkukuh pelaksanaan gencatan senjata’ dan memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mana-mana pelanggaran.
“Israel akan terus menegakkan gencatan senjata dan akan memberi tindak balas keras terhadap sebarang pelanggaran,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pejabat Media Kerajaan Gaza menuduh Israel melakukan sekurang-kurangnya 47 pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata, termasuk serangan langsung terhadap orang awam, dengan 38 kematian setakat ini yang majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Gencatan senjata semasa ini merupakan hasil rundingan yang dimediasi oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar, bertujuan memudahkan penghantaran bantuan dan merintis laluan ke arah rundingan politik dan pertukaran tebusan.
Namun, perkembangan terbaharu ini mencerminkan kerapuhan perjanjian damai yang sedang dilaksanakan, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain atas pelanggaran yang berlaku.
Pemerhati antarabangsa turut mengeluarkan amaran sebarang ketegangan lanjut boleh mencetuskan semula konflik berskala penuh, sekali gus mengancam usaha bantuan kemanusiaan yang masih di peringkat awal.