BEIRUT: Serangan tentera Israel di selatan Lubnan semalam mencetuskan peningkatan ketegangan apabila Presiden Lubnan, Joseph Aoun, mengarahkan angkatan tenteranya untuk bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan baharu.
Aoun, dalam pertemuan dengan Panglima Tentera, Jeneral Rodolphe Haykal, menegaskan tentera Lubnan mesti berdepan dan mempertahankan tanah air daripada sebarang serangan baharu Israel.
“Serangan ini adalah sebahagian daripada siri pelanggaran yang dilakukan Israel. Mekanisme pemantauan sepatutnya bukan sekadar merekod fakta, tetapi menekan Israel supaya menghormati perjanjian dan kedaulatan Lubnan,” katanya.
Menurut laporan media tempatan, pesawat tempur Israel melancarkan serangan udara berat di kawasan pergunungan Aaichiyeh, Jarmaq dan Khardale, menyebabkan seorang kakitangan majlis perbandaran terbunuh di bandar sempadan Blida.
Serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas serangan udara awal di kampung Al-Labouneh, berhampiran Naqoura, yang terletak kira-kira 200 meter dari kedudukan tentera Lubnan.
Dalam serangan berasingan, tentera Israel turut menceroboh kawasan sekitar Blida kira-kira jam 4 pagi waktu tempatan, sekaligus melanggar perjanjian gencatan senjata antara Beirut dan Tel Aviv.
Menurut saksi, askar Israel melepaskan tembakan ke arah bangunan majlis perbandaran dan membunuh seorang pekerja, Ibrahim Salameh, yang sedang tidur di salah satu bilik di bangunan tersebut.
Penduduk mendakwa mereka terdengar jeritan meminta tolong sepanjang serangan itu yang berlangsung beberapa jam sebelum tentera Israel berundur menjelang subuh.
Dalam kenyataan rasmi, Komando Tentera Lubnan mengesahkan insiden tersebut dan menegaskan pasukan rondaan dihantar ke lokasi selepas menerima laporan serangan.
“Pasukan kami mendapati unit tentera musuh telah menceroboh masuk, melepaskan tembakan ke arah bangunan perbandaran dan menembak mati seorang pekerja,” jelas kenyataan itu.
Tentera Lubnan turut menggesa mekanisme pemantauan perjanjian gencatan senjata PBB supaya segera mengambil tindakan terhadap pelanggaran berterusan oleh Israel.
Sementara itu, pihak tentera Israel dalam kenyataannya mengesahkan operasi di Blida, mendakwa mereka menyasarkan infrastruktur Hezbollah dan menembak seorang “suspek” selepas mengenal pasti ancaman segera.
Jurucakap tentera Israel, Avichai Adraee, mendakwa bangunan majlis perbandaran digunakan untuk aktiviti pengganas yang berselindung di bawah kemudahan awam, sambil menuduh Hezbollah mempergunakan rakyat Lubnan sebagai perisai manusia.
Dalam serangan berasingan pada awal pagi semalam, tentera Israel turut mengebom sebuah dewan upacara keagamaan di kampung sempadan Adaisseh, menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).
Israel didakwa berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata yang dimeterai hampir setahun lalu, dengan angka korban kini mencecah 390 orang, majoritinya anggota Hezbollah dan selebihnya orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak. -AGENSI

 
								 
											









