SINJIL, Tebing Barat: Hampir 1,000 halangan didirikan Israel di Tebing Barat sejak perang dengan Hamas bermula lebih dua tahun lalu, sekali gus menyekat pergerakan rakyat Palestin dan menyukarkan kehidupan seharian mereka, menurut pihak berkuasa tempatan.
Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Palestin melaporkan, seramai 916 pintu, halangan dan tembok dipasang sejak serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023. Halangan ini termasuk pintu besi di pintu masuk kampung, pekan dan di antara bandar, dengan tentera Israel ditempatkan di beberapa lokasi.
Penduduk Palestin berkata, pintu berkenaan mempunyai waktu buka yang tidak menentu, ada yang ditutup selama beberapa hari. Ramai terpaksa tidur di rumah rakan atau berjalan kaki mengelilingi pintu tersebut untuk ke destinasi masing-masing.
Pemasangan halangan baharu ini menjejaskan tiga juta rakyat Palestin, memaksa mereka mengambil laluan memutar yang panjang, di mana perjalanan 20 minit kini mengambil masa lebih sejam. Beberapa jalan yang menghubungkan utara dan selatan Tebing Barat juga terjejas.
“Dalam keadaan sekarang, semuanya terhenti. Segalanya berhenti,” kata Ezzedine Al-Sayouri dari kampung Deir Dibwan. Pintu-pintu itu menghalang pelanggan ke gimnya dan beliau mempertimbangkan menutup perniagaan serta meninggalkan negara.
Penduduk kampung Aboud berkata pintu masuk ditutup antara jam 6 pagi hingga 9 pagi setiap hari, menghalang pelajar ke universiti dan orang ramai ke tempat kerja. Mohammad Shalatweh, seorang pemandu teksi, menyifatkan situasi ini sebagai sebahagian daripada strategi penjajahan Israel untuk menggugat rasa keselamatan rakyat Palestin.
Eyad Jameel, pemilik restoran di kampung Sinjil, berkata anaknya tidak pasti akan kembali apabila pergi ke bandar utama Ramallah kerana pintu ditutup secara tiba-tiba.
Tentera Israel menegaskan pintu-pintu itu bukan bertujuan menyekat orang, tetapi untuk “mengurus dan memantau” keselamatan, berikutan ancaman pengganas yang menyusup dalam kalangan penduduk.
Menurut PBB, halangan itu mengehadkan kebebasan pergerakan Palestin serta akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.










