Indonesia temui kesan radioaktif di ladang cengkih 

Indonesia temui kesan radioaktif di ladang cengkih 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menemukan kesan radioaktif di sebuah ladang cengkih di Pulau Sumatera ketika Jakarta memperluaskan siasatan susulan pendedahan pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) mengenai pencemaran Caesium-137 dalam rempah keluaran Indonesia.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) baru-baru ini melaporkan penemuan Caesium-137 dalam sampel cengkih daripada syarikat PT Natural Java Spice, selepas isotop radioaktif itu turut dikesan pada Ogos lalu dalam sampel udang beku dari Indonesia.

FDA menggantung import produk daripada dua syarikat Indonesia sehingga mereka membuktikan masalah pencemaran itu sudah diselesaikan sepenuhnya.

Agensi itu turut memaklumkan mulai akhir Oktober, udang dan rempah dari kawasan tertentu di Indonesia akan memerlukan sijil import khas berdasarkan penilaian risiko pencemaran Caesium-137.

FDA sebelum ini mengeluarkan notis menarik balik produk pada Ogos selepas isotop radioaktif tersebut dikesan dalam udang keluaran PT Bahari Makmur Sejati.

Menurut jurucakap pasukan petugas, Bara Hasibuan, kerajaan Indonesia sudah pun melancarkan siasatan dengan menghantar pasukan pemeriksa ke kemudahan pemprosesan dan dua ladang di Pulau Jawa serta Sumatera.

Beliau berkata, pasukan itu hanya menemui kesan ringan radioaktif di ladang cengkih di Lampung, Sumatera, tanpa mendedahkan butiran lanjut namun mengesahkan kerajaan sudah menggantung penjualan hasil ladang tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sehingga hasil siasatan muktamad diperoleh, kami sudah meminta supaya cengkih dari ladang itu tidak dijual,” katanya.

Katanya, Badan Pengawas Tenaga Nuklear (Bapeten) sedang menjalankan ujian terhadap sampel dari lokasi berkenaan bagi menentukan bagaimana cengkih di situ boleh tercemar.

Menurut FDA, pendedahan jangka panjang kepada dos rendah Caesium-137 boleh meningkatkan risiko kanser.

Penemuan itu berlaku selepas pihak berkuasa sebelum ini mengesan sisa Caesium-137 di sekurang-kurangnya 22 premis di kawasan perindustrian Cikande, kira-kira 60 kilometer di barat Jakarta.

Menteri Alam Sekitar, Hanif Faisol Nurofiq dalam satu hantaran di Instagram menegaskan kerajaan sedang memperketat kawalan di kawasan itu dan menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan bagi mengesan kemungkinan pencemaran.

“Selain itu, import besi dan keluli sekerap yang dipercayai menjadi sumber pencemaran tersebut turut digantung sementara sehingga sistem pemantauan bahan radioaktif diperkukuh sepenuhnya,” katanya.

Isotop radioaktif itu, yang terhasil melalui tindak balas nuklear, digunakan secara meluas dalam bidang industri, perubatan dan penyelidikan.-AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN