Hospital musnah, genosid di Gaza masih berlaku - Tribunal Gaza - Utusan Malaysia

Hospital musnah, genosid di Gaza masih berlaku – Tribunal Gaza

DUA kanak-kanak Palestin yang cedera dalam operasi ketenteraan Israel di utara Gaza menerima rawatan di Hospital Arab Al-Ahli.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Sesi terakhir Tribunal Gaza yang berlangsung di Universiti Istanbul menunjukkan Israel sengaja meruntuhkan sistem penjagaan kesihatan dan kesihatan awam di wilayah itu sebagai langkah menyebabkan kemudaratan besar terhadap orang awam.

Doktor dan pakar kemanusiaan mendedahkan serangan sistematik terhadap pekerja perubatan, hospital, sistem air dan sanitasi, serta keperluan asas kehidupan rakyat Palestin.

Dr. Javid Abdelmoneim, Presiden Antarabangsa Doctors Without Borders (MSF), berkata hospital dan pekerja kesihatan bukan mangsa sampingan konflik, sebaliknya sasaran langsung strategi sistematik Israel.

“Sistem kesihatan Gaza tidak runtuh secara kebetulan. Ia dimusnahkan apabila hospital diserang, bekalan dipotong, pekerja kesihatan dibunuh atau ditahan dan sistem air serta sanitasi rosak teruk,” katanya.

Beliau mendedahkan lebih 1,700 pekerja kesihatan terbunuh sejak Oktober 2023 dan 15 rakan sekerjanya di MSF terbunuh dalam serangan Israel.

Beberapa insiden seperti serangan terhadap Hospital Al-Awda sudah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa Israel tetapi tetap berlaku.

Dr. Taner Kamaci, pegawai kesihatan Turkiye berkata, rakyat Gaza terputus bekalan elektrik, air dan makanan selama dua tahun, menyebabkan kesihatan fizikal, sosial dan mental mereka terjejas teruk.

Beliau turut menceritakan keadaan pesakit yang terpaksa dibawa menggunakan kereta keldai dan pembedahan dilakukan tanpa anestesia.

Dr. Mads Gilbert, doktor kecemasan Norway, menekankan pelanggaran hak asasi dan serangan terhadap sistem kesihatan Gaza telah berlaku lebih 40 tahun.

Beliau menyifatkan serangan Israel sebagai “sistematik” dengan tujuan jelas untuk menghapuskan hospital dan melemahkan semangat rakyat Palestin.

Gwyn Daniel, ahli psikoterapi keluarga dari United Kingdom, berkata trauma rakyat Gaza adalah berterusan dan kini dikategorikan sebagai genosid yang sedang berlaku.

Kanak-kanak menanggung kesan paling teruk, dengan hampir 40,000 kanak-kanak terbunuh dalam dua tahun perang.

Tribunal Gaza menyeru pertanggungjawaban antarabangsa terhadap kemusnahan sistem penjagaan kesihatan di Gaza dan menekankan perlunya mekanisme yang kredibel untuk menegakkan keadilan bagi ribuan yang terbunuh dan cedera akibat tindakan Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN