Hampir 50,000 spesies haiwan dunia semakin pupus

Hampir 50,000 spesies haiwan dunia semakin pupus

MAJORITI burung di seluruh dunia menunjukkan penurunan populasi ketara iaitu sebanyak 61 peratus. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI: Lebih 48,000 spesies di ambang kepupusan, menurut laporan terbaharu oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).

Dalam kemas kini senarai merah (Red List) yang diterbitkan pada Ahad, IUCN mendedahkan tiga spesies anjing laut Artik kini semakin menghampiri status pupus, sekali gus menandakan peningkatan ancaman terhadap hidupan laut di kawasan sejuk itu.

Laporan itu turut memberi amaran majoriti burung di seluruh dunia kini menunjukkan penurunan populasi ketara iaitu sebanyak 61 peratus daripada keseluruhan spesies, berbanding hanya 44 peratus pada 2016.

Namun, populasi penyu hijau sebaliknya dilaporkan meningkat sekitar 28 peratus hasil usaha pemuliharaan berterusan selama beberapa dekad.

“Senarai Merah IUCN yang diumumkan pada Kongres IUCN di Abu Dhabi hari ini menyerlahkan cabaran mendesak yang kita hadapi, tetapi juga menunjukkan potensi besar jika kita bertindak bersama,” kata Ketua Pengarah IUCN, Dr Grethel Aguilar.

“Walaupun spesies seperti anjing laut Artik dan pelbagai jenis burung berdepan ancaman yang semakin meningkat, kejayaan pemulihan penyu hijau membuktikan pemuliharaan berkesan apabila dilakukan dengan tekad dan kesepakatan,” katanya.

Senarai Merah IUCN menempatkan haiwan yang dikategorikan sebagai keutamaan tertinggi untuk tindakan pemuliharaan segera. Tahun ini, senarai tersebut melibatkan 172,620 spesies dengan 48,646 daripadanya diancam kepupusan.

Tiga spesies anjing laut Artik yang terjejas ialah hooded seal yang kini dikategorikan sebagai Terancam, manakala bearded seal dan harp seal disenaraikan sebagai Hampir Terancam.

Menurut Pengerusi Bersama Kumpulan Pakar Pinniped Suruhanjaya Kelangsungan Spesies IUCN, Dr Kit Kovacs, spesies ini kini berdepan pelbagai ancaman termasuk aktiviti perkapalan, pencemaran bunyi, eksploitasi minyak dan mineral, pemburuan serta tangkapan sampingan dalam industri perikanan.

“Namun ancaman terbesar terhadap spesies ini datang daripada perubahan iklim yang menjejaskan habitat semula jadi mereka di kawasan ais Artik,” jelasnya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN