DOHA: Hamas tidak akan mengambil bahagian dalam pemerintahan Gaza selepas perang berakhir, menurut sumber terdekat kepada agensi berita AFP pada Ahad, ketika pemimpin dunia bersiap untuk menghadiri sidang kemuncak keamanan Gaza di Mesir.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa, ketika kedua-dua pihak membincangkan pelaksanaan pelan 20 perkara yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menamatkan perang termasuk pelucutan senjata Hamas dan penyingkirannya daripada sebarang peranan dalam pentadbiran Gaza pasca-perang.
“Bagi Hamas, isu pentadbiran Gaza adalah perkara yang telah ditutup. Hamas tidak akan terlibat sama sekali dalam fasa peralihan, bermaksud ia telah menyerahkan kawalan ke atas wilayah itu, namun kekal sebagai sebahagian penting dalam struktur masyarakat Palestin,” kata sumber tersebut kepada AFP.
Tidak seperti beberapa kumpulan militan lain di rantau itu, kepimpinan Hamas sebelum ini sering berbeza pandangan mengenai hal-hal utama, termasuk masa depan pentadbiran Gaza.
Namun, satu perkara yang dilihat mendapat kesepakatan penuh dalam kalangan pimpinan tertinggi Hamas ialah penolakan terhadap pelucutan senjata.
“Hamas bersetuju dengan gencatan jangka panjang dan senjatanya tidak akan digunakan sepanjang tempoh itu kecuali jika Israel melancarkan serangan ke atas Gaza,” ujar sumber berkenaan.
Seorang lagi pegawai Hamas turut memberitahu AFP bahawa pelucutan senjata tidak sama sekali menjadi pilihan.
Klausa pertama dalam pelan 20 perkara Trump menyatakan bahawa Gaza harus menjadi zon bebas keganasan dan deradikalisasi yang tidak mengancam negara jiran.
Pelan itu juga menegaskan bahawa Hamas tidak akan mempunyai peranan dalam pentadbiran Gaza pada masa hadapan, dan infrastruktur serta senjata militannya mesti dimusnahkan dan tidak dibangunkan semula.
Di bawah pelan tersebut, sebuah jawatankuasa sementara yang bersifat teknokratik dan tidak berpihak akan ditubuhkan bagi mengurus pentadbiran harian serta perkhidmatan awam di Gaza.
Sumber berkenaan memaklumkan bahawa pihak perunding telah meminta Mesir sebagai perantara untuk menganjurkan mesyuarat sebelum hujung minggu depan bagi memuktamadkan komposisi jawatankuasa tersebut, sambil menambah bahawa senarai nama hampir siap.
“Hamas bersama-sama beberapa lagi puak telah mengemukakan 40 nama. Tiada sebarang veto terhadap mereka dan tiada seorang pun yang terdiri daripada ahli Hamas,” katanya. -AGENSI