STOCKHOLM: Aktivis alam sekitar dari Sweden, Greta Thunberg, mendakwa beliau dan beberapa sukarelawan lain diseksa serta didera oleh anggota keselamatan Israel selepas ditahan ketika menyertai misi kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza pada awal bulan ini.
Menurut laporan akhbar Sweden, Aftonbladet, Thunberg, 22, mendakwa beliau dipukul, ditendang, dibiarkan lapar dan diseksa semasa dalam tahanan, selain mendakwa pengawal penjara turut mengambil swafoto bersamanya serta menconteng harta peribadinya dengan tulisan lucah.
Thunberg ditahan di perairan antarabangsa pada 2 Oktober lalu ketika menyertai Global Sumud Flotilla, misi kemanusiaan antarabangsa yang membawa bantuan ke Gaza sebelum kemudiannya dihantar pulang pada 6 Oktober.
Menceritakan pengalamannya, Thunberg berkata beliau dibawa ke kawasan tahanan yang digambarkan sebagai “dystopian”, suasana menakutkan dan menindas.
“Saya melihat kira-kira 50 orang duduk berbaris di lantai dengan tangan bergari, dahi menyentuh tanah. Mereka mengheret saya ke arah lain dan membalut saya dengan bendera Israel sepanjang masa. Mereka memukul dan menendang saya,” katanya.
Tambahnya, para pengawal bertindak tanpa sebarang rasa belas kasihan atau perikemanusiaan, malah beliau terpaksa merayu untuk mendapatkan air minuman dalam suhu panas mencecah 40 darjah Celsius.
“Ada banyak perkara yang saya tidak ingat. Terlalu banyak berlaku dalam masa singkat. Anda dalam kejutan dan kesakitan, tetapi cuba untuk bertenang,” ujarnya.
Katanya, tahanan yang pengsan tidak diberi rawatan segera, malah para pengawal mengugut untuk menyembur gas apabila mereka meminta bantuan.
Thunberg turut mendakwa sepanjang malam, pengawal penjara kerap menggoncang jeriji besi dan menyuluh lampu ke arah tahanan, memaksa mereka berdiri berulang kali.
Kapal flotila yang dinaikinya sebelum itu dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa, selepas pihak penganjur enggan menukar haluan seperti diarahkan.
Penganjur misi mengecam tindakan itu sebagai serangan haram terhadap sukarelawan yang tidak bersenjata di laut antarabangsa. —AGENSI