Gencatan senjata tidak halang Israel bunuh wartawan Gaza

Gencatan senjata tidak halang Israel bunuh wartawan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Wartawan Palestin, Saleh Aljafarawi terbunuh ketika membuat liputan pertempuran di Gaza City, beberapa hari selepas perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas dimeterai.

Menurut sumber Palestin yang dipetik Al Jazeera Arabic, wartawan berusia 28 tahun itu yang dikenali melalui rakaman video liputannya mengenai perang maut selepas ditembak oleh anggota sebuah militia bersenjata ketika membuat liputan di kejiranan Sabra, Gaza City.

Agensi pengesahan maklumat milik Al Jazeera, Sanad, turut mengesahkan rakaman video yang menunjukkan jasad Aljafarawi, lengkap dengan jaket keselamatan bertanda “Press”, berada di belakang sebuah trak.

Beliau dilaporkan hilang sejak pagi Ahad.

Sumber tempatan memaklumkan pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan Hamas dengan kumpulan bersenjata daripada keluarga Doghmush di kawasan Sabra, namun maklumat itu belum disahkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Sumber kanan di Kementerian Dalam Negeri Gaza memberitahu Al Jazeera Arabic bahawa pertempuran berkenaan melibatkan sebuah militia bersenjata yang bersekutu dengan pihak pendudukan [Israel].

Menurut sumber itu lagi, pasukan keselamatan Gaza telah mengepung kumpulan berkenaan, sambil mendakwa anggota militia tersebut turut menembak mati beberapa penduduk yang berpindah pulang dari selatan Gaza ke Bandar Gaza.

Walaupun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa, pihak berkuasa tempatan menegaskan situasi keselamatan di Gaza masih tidak menentu dan penuh risiko.

Dalam wawancara bersama Al Jazeera pada Januari lalu, beberapa hari sebelum gencatan senjata sementara dimeterai, Aljafarawi menceritakan pengalaman getirnya selepas dipindahkan dari utara Gaza akibat serangan berterusan Israel.

“Segala pemandangan dan pengalaman yang saya lalui sepanjang 467 hari ini tidak akan terpadam daripada ingatan saya. Semua detik itu terlalu pahit untuk dilupakan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan dirinya sering menerima ancaman daripada pihak Israel berikutan kerja kewartawanannya.

“Sejujurnya, saya hidup dalam ketakutan setiap saat terutama apabila mendengar apa yang dikatakan oleh pihak pendudukan Israel tentang saya. Saya hidup dari saat ke saat, tanpa tahu apa yang bakal berlaku pada detik berikutnya,” katanya.

Kematian Aljafarawi menambah kepada angka lebih 270 wartawan dan petugas media yang terkorban sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023, menjadikannya konflik paling berdarah terhadap pengamal media dalam sejarah moden.

Insiden itu berlaku ketika gencatan senjata di Gaza memasuki hari ketiga, menjelang pelaksanaan pertukaran tebusan dan tahanan antara Israel dan Hamas. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN