ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan komitmen negaranya untuk memimpin usaha pemulihan semula Gaza, termasuk penyediaan bantuan kemanusiaan dan tempat perlindungan bagi rakyat Palestin menjelang musim sejuk.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sidang Damai Sharm el-Sheikh di Mesir, yang turut dihoskan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi.
Sidang tersebut menyaksikan kehadiran lebih 20 pemimpin dunia, termasuk Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani bagi menandatangani perjanjian gencatan senjata Gaza.
Majlis bersejarah itu dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Trump sebelum disusuli dengan sesi menandatangani perjanjian damai oleh empat pemimpin utama iaitu Trump, Sisi, Erdogan dan Sheikh Tamim.
Dalam sidang media di atas pesawat ketika pulang ke Ankara, Erdogan menyifatkan pertemuan diplomatik dengan Trump sebagai amat penting dan menegaskan akan meneruskan kerjasama tersebut.
“Tandatangan di Sidang Damai Sharm el-Sheikh bukan sekadar simbolik, ia menandakan komitmen kita terhadap keamanan dan akan tercatat dalam sejarah,” ujar Erdogan.
Beliau turut menegaskan Turkiye amat bersemangat untuk melihat terbinanya keamanan baharu di Gaza dengan usaha pemulihan fizikal dan sosial sebagai keutamaan.
Menurut Erdogan, Turkiye sedang berusaha mendapatkan sokongan global, termasuk daripada negara-negara Teluk, AS dan Eropah, bagi memastikan tragedi kemanusiaan di Gaza tidak dilupakan dunia.
Beliau mendedahkan sebanyak 350 trak bantuan kemanusiaan dari Turkiye telah memasuki Gaza dalam beberapa hari kebelakangan ini, selaras dengan perjanjian Hamas-Israel yang menetapkan sekurang-kurangnya 600 trak bantuan dihantar setiap hari.
“Satu-satunya penyelesaian sebenar bagi perjuangan Palestin ialah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara,” tegasnya. -AGENSI