Dokumen dedah AS sengaja burukkan imej Venezuela, reka cerita 'tidak masuk akal'

Dokumen dedah AS sengaja burukkan imej Venezuela, reka cerita ‘tidak masuk akal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) cuba menggunakan geng Tren de Aragua (TdA) sebagai alat politik untuk ‘menghalalkan campur tangan di Venezuela dan menindas pendatang dari negara itu, termasuk mengenakan tindakan keras terhadap kawalan sempadan.

Pendedahan dokumen dalaman oleh The Guardian menunjukkan agensi penguatkuasaan AS menyebarkan maklumat salah berhubung ancaman keselamatan kononnya daripada TdA, sebelum ia dijadikan justifikasi bagi serangan ketenteraan dan dasar imigresen keras terhadap warga Venezuela.

Dokumen dalaman yang diperoleh mendedahkan bagaimana khabar angin tidak sahih mengenai ancaman pembunuhan terhadap pegawai polis oleh geng TdA, tersebar luas dalam kalangan agensi penguatkuasa undang-undang di AS tahun lalu.

Laporan risikan mendakwa ahli TdA merancang menyerang pasukan penguat kuasa undang-undang AS mula disebarkan oleh sebuah jabatan polis tempatan di New Mexico pada Julai 2024.

SEBAR DAKWAAN PALSU

Ia tersebar luas di antara agensi keselamatan di seluruh negara termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dan Jabatan Kastam dan Perlin­dungan Sempadan (CBP).

Antara agensi yang turut menerima dan berkongsi amaran itu termasuk Pasukan Tentera Darat AS Bahagian Utara, Persatuan Sheriff Utama Amerika dan program antidadah HIDTA.

Malah, maklumat tersebut turut dimasukkan ke dalam kenyataan rasmi Gabenor Texas, Greg Abbott dan diulangi oleh beberapa ahli Kongres Republikan sebagai bukti kononnya imigran Venezuela membawa ancaman selain dijadikan hujah untuk mengkritik dasar sempadan Demokrat.

Bekas ahli Kongres Colorado, Greg Lopez daripada Parti Republikan menggunakan khabar angin itu menyerang Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) pentadbiran bekas Presiden, Joe Biden, mendakwa badan tersebut memilih untuk tidak bertindak.

GREG Abbott menandatangani satu proklamasi bulan lalu yang mengisytiharkan TdA sebagai organisasi pengganas.-AGENSI

Senator, Ted Cruz pula memetik frasa ‘lampu hijau’ daripada laporan tersebut dalam sepucuk surat kepada DHS, mendakwa peningkatan besar dalam jenayah yang dilakukan oleh pendatang haram Venezuela adalah hasil langsung daripada dasar pentadbiran Biden.

Namun, beberapa bulan kemudian, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam laporan dalaman menegaskan dakwaan mengenai arahan rasmi TdA untuk menyasarkan penguat kuasa undang-undang AS adalah tidak benar.

FBI menyatakan tiada bukti kumpulan TdA pernah mengeluarkan arahan untuk menyasarkan anggota polis di AS.

Malangnya, sehingga kini tiada pengakuan awam dibuat bagi memperbetulkan kenyataan tidak tepat yang sudah tersebar luas itu.

Pendedahan mengenai perkara itu dibuat oleh Property of the People, sebuah organisasi bukan keuntungan yang memperjuangkan ketelusan kerajaan.

Dokumen yang diperoleh menunjukkan banyak agensi penguatkuasa undang-undang tidak mempunyai pemahaman asas mengenai kumpulan TdA dan aktivitinya.

TdA bermula di sebuah penjara di negeri Aragua, Venezuela, dan menurut pakar, kumpulan itu tidak mempunyai struktur organisasi yang tersusun di AS.

Dakwaan TdA mempunyai rancangan untuk membunuh polis dianggap sangat tidak munasabah oleh pakar yang mengkaji kumpulan berkenaan.

JUSTIFIKASI SERANGAN

Namun, rekod menunjukkan naratif meragukan dan bersifat panik itu kini masih terus disebarkan dan diterima dalam kalangan agensi serta tokoh politik hingga membawa kesan besar kepada rakyat Venezuela dan kerajaannya.

Pentadbiran Presiden, Donald Trump sudah melancarkan tujuh serangan maut terhadap kapal berhampiran Venezuela, dengan alasan tentera menyasarkan ahli TdA walaupun tiada bukti kukuh dikemukakan.

Pakar PBB turut menyatakan serangan itu melanggar undang-undang antarabangsa.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) juga menggunakan dakwaan tidak berasas mengenai kaitan dengan TdA untuk mengusir warga Venezuela tanpa proses undang-undang yang sewajarnya.

Dakwaan sama turut digunakan untuk menghantar mereka ke penjara terkenal di El Salvador, serta berusaha membatalkan status sah kira-kira 600,000 pendatang Venezuela di AS.

Jurucakap Polis Albuquerque, Gilbert Gallegos dalam satu temu bual berkata, Jabatan Polis Albuquerque (APD) menyebarkan amaran ‘lampu hijau’ itu kepada rakan agensi tempatan, namun tidak berniat untuk ia dikongsi secara terbuka.

Menurutnya, pada waktu amaran itu dikeluarkan, berlaku satu kes pembunuhan tempatan yang melibatkan suspek dan mangsa warga Venezuela, tetapi menegaskan pihaknya tidak tahu sama ada kes itu mempunyai sebarang kaitan dengan geng TdA , selain laporan mereka berasal dari negara tersebut.

Gallegos juga menegaskan tidak mengetahui sebarang bukti kewujudan kumpulan TdA di rantau berkenaan dan APD tidak memiliki maklumat risikan mengenai kemungkinan serangan geng Venezuela terhadap polis, selain maklumat yang dikongsi oleh seorang ejen Bahagian Siasatan Keselamatan Dalam Negeri (HSI) di Colorado.

Pakar Pusat Kajian Amerika Latin Universiti Florida, Prof. Rebecca Hanson berkata, dakwaan TdA mengarahkan serangan ke atas polis tidak masuk akal kerana kumpulan itu tidak pernah berbuat demikian di Venezuela sendiri.

Katanya, kumpulan jenayah seperti TdA biasanya mengelak konfrontasi terbuka dengan kerajaan kerana ia boleh menjejaskan kepentingan ekonomi mereka.

Penganalisis dari Crisis Group, Phil Gunson turut senada, menyifatkan dakwaan tersebut digunakan untuk membenarkan tindakan keras terhadap pendatang Venezuela.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN