LONDON: China menjadi ancaman harian terhadap keselamatan negara Britain, menurut Ketua Pengarah MI5, Ken McCallum.
Beliau berkata, penglibatan Beijing dalam kegiatan pengintipan dan campur tangan politik negara semakin membimbangkan.
Dalam satu ucapan di ibu pejabat MI5 di London, McCallum mendedahkan ejen perisikan UK kerap menemui rancangan melibatkan pemantauan, sabotaj, pembakaran, keganasan fizikal dan gangguan terhadap penentang kerajaan, termasuk aktivis prodemokrasi.
Ketika ditanya sama ada China menjadi ancaman keselamatan negara, beliau menjawab dengan tegas negara itu sememangnya menjadi ancaman kepada keselamatan UK dan ia berlaku setiap hari.
Beliau turut memaklumkan MI5 baru-baru ini berjaya menggagalkan satu operasi perisikan asing berkaitan dengan China.
Katanya, ancaman daripada negara asing seperti China, Russia dan Iran meningkat mendadak, dengan bilangan individu yang disiasat bagi aktiviti berkaitan ancaman negara bertambah 35 peratus dalam tempoh setahun lalu.
Kenyataan ini dikeluarkan ketika kerajaan Britain menghadapi tekanan susulan kegagalan satu kes pengintipan berprofil tinggi yang melibatkan dua lelaki yang dituduh menjadi ejen perisik China.
Kegagalan kes itu mencetuskan tuduhan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer mungkin melindungi hubungan diplomatik dengan Beijing demi kepentingan ekonomi dan politik.
Sebagai respons terhadap kritikan awam, kerajaan UK pada malam Rabu mengeluarkan tiga kenyataan rasmi yang dikemukakan kepada pendakwa raya untuk menyokong kes terhadap kedua-dua lelaki tersebut.
China pantas menolak segala tuduhan, menyifatkannya sebagai rekaan sepenuhnya dan ‘fitnah yang keji’.
Beijing menegaskan mereka tidak pernah mencampuri urusan dalaman mana-mana negara.
Jurucakap Kedutaan China di London turut menuduh kerajaan UK menyebarkan dakwaan tidak berasas dan berniat jahat.
Tuduhan terhadap China berkaitan pengintipan bukan hanya berlaku di UK. Amerika Syarikat dan New Zealand juga menuduh Beijing terlibat dalam penggodaman terhadap institusi penting mereka.
Pada Mac 2024, ketiga-tiga negara itu menuduh penggodam Beijing melancarkan serangan siber terhadap ahli parlimen dan organisasi utama.