Caribbean alami kerugian AS$8 bilion akibat Taufan Melissa - Utusan Malaysia

Caribbean alami kerugian AS$8 bilion akibat Taufan Melissa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT-AU-PRINCE: Taufan Melissa yang melanda Jamaica, Haiti dan Cuba meninggalkan kemusnahan besar dengan sekurang-kurangnya 33 maut serta kerugian dianggarkan mencecah AS$8 bilion (RM33 bilion).

Ribut kuat itu bukan sahaja meranapkan kediaman dan bangunan, malah menumbangkan pokok, menenggelamkan jalan raya serta menyebabkan gangguan bekalan elektrik di seluruh rantau Caribbean.

Di Jamaica, semua lapangan terbang utama terpaksa ditutup, menyebabkan kira-kira 25,000 pelancong terkandas, sementara pihak berkuasa memberi amaran berhubung ancaman buaya yang dihanyutkan keluar habitat akibat banjir.

Menurut penganalisis bencana di Enki Research, Chuck Watson, jumlah kerugian di Jamaica sahaja dianggarkan sekitar AS$7.7 bilion (RM32 bilion) , bersamaan 35 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.

“Ia satu kemusnahan yang sangat luas. Lebih dahsyat berbanding Taufan Gilbert pada 1988,” katanya sambil menjelaskan Melissa merupakan taufan perlahan dengan hujan lebat berterusan yang mempercepatkan kemusnahan.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Taufan Melissa mencatatkan kelajuan angin maksimum 155 kilometer sejam ketika bergerak meninggalkan Jamaica.

Ia kini menurun kepada kategori satu dan dijangka semakin lemah apabila memasuki perairan sejuk Atlantik Utara pada 31 Oktober bagaimanapun, pihak ramalan cuaca memberi amaran ribut itu masih berpotensi menyebabkan kerosakan struktur serta menumbangkan pokok dan talian elektrik di Bahamas.

Di Haiti, sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan 18 lagi hilang, menurut Agensi Perlindungan Awam negara itu.

Seramai 20 mangsa maut dan 10 hilang dilaporkan berasal dari sebuah bandar pesisir di selatan negara tersebut selepas banjir meranapkan puluhan rumah.

Presiden Donald Trump memaklumkan Washington bersedia menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada negara-negara terjejas, manakala pasukan bantuan serantau AS kini menuju ke Jamaica dan Bahamas bagi menguruskan operasi menyelamat serta penilaian awal.

Markas Selatan AS turut bersiap sedia menghantar pasukan penilaian bagi menilai keadaan sebenar di kawasan terjejas sebelum bantuan tambahan disalurkan.

Sementara itu, syarikat milik jutawan teknologi, Elon Musk, Starlink turut membantu menyediakan sambungan satelit bagi memulihkan capaian komunikasi di kawasan yang terputus hubungan.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dalam kenyataannya di Parlimen turut menyatakan sokongan penuh kepada Jamaica serta menghantar kapal tentera laut dan pasukan bantuan pantas ke rantau Caribbean sebelum taufan itu melanda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN