Burger termahal dunia berharga RM46,363, eksklusif untuk tetamu khas

Burger termahal dunia berharga RM46,363, eksklusif untuk tetamu khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA: Sebuah restoran di Sepanyol, Asador Aupa, mencipta sensasi dunia kulinari apabila memperkenalkan burger termahal di dunia yang berharga AS$11,000 (RM46,363) dan lebih menarik, ia hanya boleh dinikmati oleh mereka yang menerima jemputan khas daripada pihak restoran.

Walaupun harga burger semakin meningkat di seluruh dunia, makanan segera ini masih dianggap antara hidangan paling mampu milik di restoran.

Namun, ciptaan terbaharu daripada Asador Aupa, restoran masakan Basque yang terletak di Cabrera del Mar, Catalonia, menukar persepsi itu apabila menampilkan hidangan eksklusif hasil penyelidikan dan percubaan selama lapan tahun.

Menariknya, harga luar biasa itu bukan disebabkan bahan seperti emas boleh dimakan atau gimik semata-mata, tetapi berpunca daripada kualiti bahan premium, pengalaman menjamu selera yang unik serta faktor eksklusiviti.

Asador Aupa diasaskan oleh seorang cef dan pempengaruh gastronomi terkenal di Sepanyol yang menggemari masakan Basque, Bosco Jiménez yang lebih dikenali sebagai BdeVikingo.

Walau ramai mungkin sanggup membayar harga setinggi itu, wang semata-mata tidak menjamin peluang untuk merasainya. Hanya individu yang dijemput secara peribadi oleh restoran dibenarkan menikmati burger tersebut.

“Pengalaman ini hanya melalui jemputan. Ia tidak disenaraikan dalam menu, dan tempahan tidak dibenarkan. Hanya mereka yang terpilih dibenarkan mencubanya.

“Jika anda merasakan anda layak, anda boleh menghantar permohonan dan kami akan menilai permintaan tersebut,” menurut kenyataan rasmi di laman web Asador Aupa.

Namun, syarat kelayakan jemputan itu dirahsiakan, menjadikan proses pemilihan lebih misteri.

Bagi yang bernasib baik untuk dipilih, mereka akan dijemput ke bilik peribadi restoran, duduk bersama beberapa tetamu lain yang eksklusif, dan dihidangkan burger istimewa yang disediakan menggunakan tiga jenis daging terbaik di dunia, keju paling eksklusif di Eropah serta sos khas berasaskan minuman keras mewah.

Namun tanpa senarai bahan yang jelas, ramai yang masih meragui nilainya lebih-lebih lagi apabila jumlah itu setara dengan harga sebuah kereta kecil.

Sebagai perbandingan, burger Golden Boy yang sebelum ini memegang gelaran burger termahal dunia, kini kelihatan murah selepas kemunculan ciptaan eksklusif Asador Aupa ini. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN