Bunyi ‘hantu’ dari sempadan Thailand ganggu emosi kanak-kanak Kemboja

Bunyi ‘hantu’ dari sempadan Thailand ganggu emosi kanak-kanak Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Aktivis hak kanak-kanak di Kemboja memberi amaran taktik perang psikologi yang datang dari arah sempadan Thailand memberi kesan serius terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan kanak-kanak di negara itu.

Sejak malam 10 Oktober lalu, penduduk di dua perkampungan sempadan, Prey Chan dan Chouk Chey di wilayah Banteay Meanchey, dilaporkan terganggu dengan bunyi menyeramkan seakan-akan jeritan hantu yang disiarkan dari arah Thailand, menyebabkan ketakutan, tekanan serta gangguan tidur dalam kalangan penduduk.

Menurut laporan, bunyi itu dipercayai disiarkan oleh seorang pempengaruh media sosial dan nasionalis Thailand, Kan Jomphalang.

Pengarah Eksekutif Gabungan Hak Kanak-Kanak Kemboja (CRC-Cambodia), Yan Lay berkata, gangguan bunyi yang berterusan itu telah menjejaskan kesihatan mental dan pembelajaran kanak-kanak, sehingga ada yang menunjukkan tanda-tanda trauma dan keresahan.

“Pertama sekali, ia memberi kesan kepada kesihatan mental kanak-kanak. Bunyi yang menakutkan dan tidak selamat mengganggu waktu tidur mereka, menyebabkan mimpi ngeri dan serangan panik pada waktu malam,” katanya kepada The Phnom Penh Post.

Beliau menjelaskan ramai kanak-kanak di kawasan sempadan kini mengalami tekanan dan kemurungan, malah ada yang menangis dan sukar tidur setiap malam.

“Gangguan ini turut menjejaskan pelajaran mereka. Ramai yang takut untuk ke sekolah, sama ada pada waktu pagi atau petang. Apabila mereka dilanda ketakutan, tumpuan terhadap pelajaran akan terjejas,” katanya lagi.

Ada ibu bapa yang memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah kerana bimbang dengan keadaan itu, manakala ketiadaan maklumat tepat daripada pihak berkuasa menambahkan kekeliruan dan penyebaran khabar angin dalam kalangan masyarakat.

Yan Lay menyeru pihak berkuasa, guru dan pemimpin masyarakat supaya menjelaskan punca bunyi tersebut kepada kanak-kanak serta menyediakan ruang untuk mereka meluahkan perasaan takut.

Sementara itu, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Kemboja (CHRC) telah mengemukakan rayuan rasmi kepada Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCHR) untuk menyiasat dakwaan gangguan psikologi dan ugutan oleh Angkatan Tentera Diraja Thailand.

Dalam surat bertarikh 11 Oktober, Pengerusinya, Keo Remy menjelaskan bunyi tersebut termasuklah suara jeritan dan deruman enjin pesawat yang disiarkan secara sengaja ke arah perkampungan Kemboja di sempadan.

CHRC menyifatkan tindakan itu melanggar beberapa konvensyen antarabangsa termasuk Convention Against Torture (CAT) serta perjanjian gencatan senjata bertarikh 28 Julai dan 13 perkara persetujuan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Luar Biasa Ogos lalu.

Kementerian Pertahanan Kemboja bersama Pasukan Pemerhati Sementara ASEAN (IOT) telah menghantar misi lapangan pada malam 11 Oktober bagi menyiasat laporan itu di kawasan Prey Chan dan Chouk Chey.

Menurut kementerian, hasil siasatan akan disalurkan melalui saluran diplomatik bagi memastikan isu tersebut diselesaikan secara aman dan mengikut undang-undang.

Ketegangan di sempadan yang masih berlarutan itu mendorong kumpulan hak asasi Kemboja mengulangi gesaan agar semua pihak, khususnya kanak-kanak dan kumpulan rentan, dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN