LONDON: Seorang suspek penyeluk saku bersenjata dibelasah jurulatih seni bela diri selepas cuba meragut telefon bimbit seorang penumpang lain di platform Borough Station, selatan London, pada Selasa malam.
Rakaman tular menunjukkan seorang lelaki bertopi duduk di atas suspek dan mengawalnya sehingga polis tiba. Lelaki itu dikenal pasti sebagai Ivan Skoko, 29, seorang juara dan jurulatih Brazilian jiu-jitsu yang memegang tali pinggang hitam dengan anggaran berat kira-kira 95 kilogram.
Menurut laporan, suspek berusia awal 20-an itu cuba meragut telefon bimbit seorang wanita ketika pintu kereta api sedang tutup dan cuba melarikan diri. Sebaik menyedarinya, Ivan segera meluru, menumbangkan suspek menggunakan teknik sapuan dan mengunci lengan suspek sebelum menahannya di atas platform.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan polis menemui sebuah penukul cengkaman yang berkarat di dalam pinggang seluar suspek serta dua telefon pintar sebelum lelaki itu kemudian ditangkap di lokasi kejadian.
Dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial, Ivan berkata beliau sedang dalam perjalanan untuk mengajar kelas pertahanan diri di Fight City Gym di Elephant and Castle apabila insiden berlaku pukul 7 malam.
“Lelaki itu cuba meragut telefon daripada wanita itu ketika pintu ditutup, taktik biasa di kawasan Elephant and Castle. Saya lihat semua berpaling dan wanita itu mula menjerit.
“Saya terus buka pintu, pegang lelaki itu dan menjatuhkannya dengan sekali hentakan, kemudian tunggu polis datang,” katanya kepada Daily Mail.
Ivan menambah beliau merasakan sesuatu dalam poket suspek yang mungkin senjata tajam, lalu terus mencengkam kuat lengan suspek dan menasihatinya agar tidak mencapai sebarang senjata.
Menurut Ivan, suspek tidak melawan dan dia berjaya mengawal suspek tanpa kecederaan yang serius.
Polis tiba di tempat kejadian dan membawa suspek untuk siasatan lanjut. Tiada kecederaan serius dilaporkan dalam insiden itu. -AGENSI

 
								 
											









