Bom tidak meletup ancam keselamatan penduduk Gaza

Bom tidak meletup ancam keselamatan penduduk Gaza

RAKYAT Palestin mencari mangsa di Bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat pengeboman Israel di Khan Younis, selatan Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Bahan letupan yang tidak meletup di Gaza kini menimbulkan risiko besar kepada penduduk yang mula pulang ke rumah masing-masing semasa gencatan senjata yang diketuai Amerika Syarikat (AS), menurut Handicap International.

Justeru, pertubuhan bantuan antarabangsa itu menggesa supaya peralatan nyah periuk api dan pelupusan bahan letupan segera dibenarkan masuk ke wilayah berkenaan bagi melindungi keselamatan orang awam.

“Risikonya amat besar, dianggarkan 70,000 tan bahan letupan digugurkan ke atas Gaza sejak perang bermula,” kata Pengarah Handicap International bagi wilayah Palestin, Anne-Claire Yaeesh.

Handicap International, yang pakar dalam kerja-kerja pelupusan periuk api dan bantuan kepada mangsa letupan, berkata keadaan di Gaza kini amat berbahaya ekoran kemusnahan meluas akibat konflik yang berlarutan selama dua tahun.

Sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023, bahan letupan tidak meletup seperti bom, bom tangan dan peluru dilaporkan bertaburan di seluruh wilayah itu, menjadikannya pemandangan biasa di kawasan padat penduduk.

“Timbunan runtuhan dan tahap pengumpulan bahan letupan kini berada pada paras yang amat tinggi,” kata Yaeesh.

Beliau memberi amaran risiko itu semakin membimbangkan disebabkan persekitaran yang ‘sangat kompleks’, dengan ruang terhad di kawasan bandar padat penduduk.

Januari lalu, Perkhidmatan Tindakan Periuk Api Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMAS) menganggarkan antara lima hingga 10 peratus peluru berpandu dan bom yang digugurkan di Gaza tidak meletup.

Sejak itu, pertempuran terus berlarutan, dengan tentera Israel melancarkan operasi berskala besar di Gaza City pada pertengahan September.

Satu gencatan senjata, yang merupakan kali ketiga sejak perang bermula, berkuat kuasa pada Jumaat di wilayah tersebut.

Apabila dihubungi AFP, UNMAS berkata, disebabkan sekatan yang dikenakan sepanjang dua tahun lalu, pasukannya tidak dapat menjalankan operasi tinjauan berskala besar di Gaza.

Oleh itu, agensi berkenaan belum mempunyai gambaran menyeluruh mengenai ancaman bahan letupan di wilayah tersebut.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN