WASHINGTON: Bekas Penasihat Keselamatan Negara kepada Donald Trump, John Bolton didakwa bagi pertuduhan jenayah persekutuan berhubung pemilikan dan penyebaran maklumat pertahanan negara secara tidak sah, satu kes berat yang boleh membawa hukuman penjara puluhan tahun jika disabitkan.
Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS), juri agung di Maryland mendapati terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa Bolton, 76, susulan siasatan oleh FBI yang menyerbu kediaman dan pejabatnya pada Ogos lalu berkaitan dakwaan salah guna maklumat sulit kerajaan.
Dalam dokumen dakwaan setebal 26 muka surat yang difailkan di Mahkamah Greenbelt, Bolton menghadapi lapan pertuduhan penyebaran maklumat pertahanan negara (NDI) serta 10 pertuduhan memiliki maklumat tersebut secara tidak sah.
Pendakwa mendakwa beliau menghantar maklumat sulit menerusi e-mel peribadi dan aplikasi mesej kepada pihak yang tidak mempunyai kebenaran keselamatan.
Maklumat yang didakwa disebarkan itu termasuk risikan berkaitan serangan masa depan, profil pemimpin negara musuh dan perincian hubungan dasar luar.
Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 10 tahun bagi setiap pertuduhan. Bolton dijangka menyerah diri kepada pihak berkuasa pada hari Jumaat.
Peguam Negara AS, Pam Bondi, menegaskan undang-undang terpakai kepada semua tanpa pengecualian.
“Sesiapa yang menyalahgunakan kuasa dan mengancam keselamatan negara akan dipertanggungjawabkan. Tiada siapa di atas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Setakat ini, Bolton belum memberi sebarang kenyataan kepada media. Namun, peguamnya, Abbe Lowell, mempertahankan pertuduhan itu berpunca daripada catatan harian peribadi sepanjang 45 tahun kerjayanya dalam perkhidmatan awam.
“Menulis diari bukan satu jenayah. Catatan itu tidak diklasifikasikan dan hanya dikongsi dengan keluarga terdekat,” jelasnya.
Namun laporan CNN menyebut Bolton turut berkongsi maklumat tersebut dengan isteri dan anak perempuannya yang tidak memiliki kelulusan keselamatan.
Bolton sebelum ini terkenal sebagai pengkritik keras Trump, malah memoirnya The Room Where It Happened menggambarkan bekas presiden itu sebagai tidak berpengetahuan dan hanya mementingkan politik peribadi.
Walaupun Trump cuba menyekat penerbitan buku itu atas alasan keselamatan negara, mahkamah menolak permohonan tersebut dan siasatan terhadap Bolton dimulakan tidak lama kemudian.
Ketika ditanya mengenai pendakwaan ini, Trump hanya menjawab bahawa beliau tidak mengetahui butirannya tetapi menyifatkan Bolton sebagai “bukan orang yang baik.”