SINGAPURA: Seorang bekas pekerja United Overseas Bank (UOB) didapati bersalah oleh mahkamah pada Selasa kerana mendedahkan maklumat lebih 1,000 pelanggan bank kepada seorang penipu.
Lapor CNA, tertuduh, Cao Wenqing, 30, merupakan penduduk tetap Singapura dan warganegara China. Dia disabitkan atas 14 pertuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan 13 pertuduhan di bawah Akta Perbankan.
Cao sebelum ini menafikan tuduhan tersebut, mendakwa dia ditipu oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis Shanghai.
Namun, Hakim Daerah, James Elisha Lee menolak pembelaan itu dan menegaskan Cao yang mempunyai kelayakan pendidikan tinggi serta latihan profesional, sedar sepenuhnya tentang kerahsiaan maklumat pelanggan dan larangan terhadap pendedahan data tersebut.
Hakim Lee turut menyifatkan tindakan Cao sebagai tidak munasabah kerana gagal mengesahkan identiti dua individu yang menghubunginya.
“Dia boleh sahaja menghubungi pihak polis Shanghai sendiri untuk mengesahkan, seperti yang akhirnya dia lakukan selepas membaca artikel mengenai penipuan serupa,” kata hakim.
Menurut pendakwaan, Cao ketika itu bertugas sebagai pegawai junior di jabatan gadai janji dan hanya dibenarkan mengakses pangkalan data pelanggan untuk urusan kerja rasmi.
Namun pada Mac 2021, dia dihubungi oleh dua individu bernama Xiang Ying Dong dan Kapten Lu yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai polis China.
Cao kemudian bersetuju untuk membantu ‘siasatan’ mereka secara sukarela. Atas arahan Lu, dia mengakses pangkalan data pelanggan bank menggunakan komputer riba pejabatnya dan mencari pelanggan berbangsa Cina berdasarkan nama keluarga biasa.
Apabila menemui pelanggan yang dikenal pasti sebagai warganegara China, Cao menyalin nama, nombor pengenalan, baki akaun dan nombor telefon mereka ke dalam fail Excel.
Setiap kali selesai mengumpulkan antara 50 hingga 100 rekod pelanggan, dia akan mengambil gambar fail tersebut dan menghantarnya melalui WhatsApp kepada Lu sebelum memadamkan gambar berkenaan.
Cao turut melakukan carian khusus terhadap pelanggan tertentu apabila diminta dan menghantar tangkapan skrin profil pelanggan dari sistem bank kepada pihak berkenaan.