Bangladesh lancar kempen imunisasi tifoid untuk 50 juta kanak-kanak

Bangladesh lancar kempen imunisasi tifoid untuk 50 juta kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Bangladesh memulakan kempen vaksinasi kebangsaan bagi melindungi jutaan kanak-kanak daripada penyakit tifoid, satu jangkitan serius yang semakin menunjukkan ketahanan terhadap antibiotik.

Kempen selama sebulan yang dilancarkan pada Ahad itu menyasarkan kira-kira 50 juta kanak-kanak berusia antara sembilan bulan hingga 15 tahun untuk menerima satu dos vaksin tifoid konjugat (TCV).

Vaksin yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu mampu memberi perlindungan sehingga lima tahun dan diberikan secara percuma di bawah Program Imunisasi Diperluas (EPI) kerajaan.

Langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap penyebaran strain tifoid yang kebal ubat di Asia Selatan. Pakistan telah bergelut sejak 2016 dengan strain tifoid yang tahan terhadap hampir semua jenis antibiotik kecuali satu.

Di Bangladesh, petugas kesihatan memberi vaksin melalui sekolah, klinik serta lawatan dari rumah ke rumah, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan setinggan bandar dan kampung terpencil.

Kempen ini akan berlangsung hingga 13 November, selepas itu TCV akan dimasukkan dalam jadual imunisasi rutin negara.

Penyakit tifoid disebabkan oleh bakteria Salmonella Typhi yang merebak melalui makanan dan air tercemar. Ia menyebabkan demam, sakit perut, serta loya, dan boleh membawa maut jika tidak dirawat.

Penyelidik di Bangladesh baru-baru ini mengesan strain tifoid yang tahan terhadap antibiotik ceftriaxone, satu perkembangan membimbangkan kerana ubat tersebut merupakan antara rawatan terakhir yang masih berkesan.

Pakar memberi amaran bahawa tanpa langkah pencegahan segera, strain kebal ini boleh menjadikan penyakit tifoid semakin sukar dikawal.

Dengan sokongan Gavi, the Vaccine Alliance, kempen ini bertujuan mengurangkan kadar jangkitan dan membendung penyebaran strain tahan ubat.

Dalam ucapan pelancaran, penasihat kesihatan kerajaan, Nurjahan Begum menyifatkan masih adanya kematian akibat tifoid di Bangladesh sebagai sesuatu yang ‘memalukan’.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa negara itu mampu menewaskan penyakit tersebut seperti yang pernah dilakukan terhadap cirit-birit dan rabun malam. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN