WASHINGTON: Seorang banduan di negeri Alabama, Amerika Syarikat dihukum mati menggunakan gas nitrogen pada Khamis, menjadikannya hukuman mati ke-40 di negara itu tahun ini sekali gus menjadi jumlah tertinggi sejak 2012.
Anthony Boyd, 54, dikenakan hukuman mati selepas disabitkan kesalahan membunuh seorang lelaki berusia 32 tahun, Gregory Huguley, dengan membakar mangsa hidup-hidup kerana hutang dadah bernilai AS$200.
Boyd tidak mengaku bersalah sejak mula ditahan.
Menurut Jabatan Penjara Alabama, Boyd disahkan meninggal dunia pada pukul 6.33 petang waktu tempatan (7.33 pagi waktu Malaysia) di penjara negeri di bandar Atmore.
Pendakwa raya dalam perbicaraan terdahulu berkata Boyd bersama tiga rakan subahat telah menculik Huguley sambil mengacukan pistol kerana mangsa dikatakan gagal membayar hutang kokain.
Mereka kemudian membawa mangsa ke padang besbol, mengikatnya dengan pita pelekat, menyimbah petrol, dan membakarnya hingga mati.
Boyd disabitkan kesalahan berdasarkan keterangan rakan sejenayahnya, Quintay Cox, yang tidak dijatuhkan hukuman mati selepas membuat perjanjian dengan pihak pendakwa.
Setakat ini, Florida mencatatkan jumlah hukuman mati tertinggi di Amerika Syarikat dengan 14 kes, diikuti Texas dan Alabama masing-masing lima kes.
Hukuman mati menggunakan gas nitrogen yang dikenali sebagai nitrogen hypoxia dilakukan dengan menyalurkan gas itu ke dalam topeng muka banduan sehingga menyebabkan mereka mati akibat sesak nafas.
Kaedah ini dikritik oleh pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai “kejam dan tidak berperikemanusiaan.”
Daripada 50 negeri di Amerika Syarikat, 23 telah memansuhkan hukuman mati sepenuhnya, manakala tiga negeri lain iaitu California, Oregon dan Pennsylvania masih mengenakan moratorium terhadap pelaksanaannya.
Presiden Donald Trump bagaimanapun kekal menyokong hukuman mati dan pada hari pertama beliau memegang jawatan, beliau menyeru agar pelaksanaannya diperluas bagi menghukum “jenayah paling keji.”









